Thailand rampas gading gajah dari Nigeria

BANGKOK, 12 Jan  – Pegawai Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini merampas gading gajah seberat 148kg dari Nigeria yang dianggarkan bernilai 15 juta Baht (RM1.8 juta).

Menurut Ketua Pengarah jabatan itu Jen  Chaiyuth Kamkun, tiga batang gading gajah yang lengkap dan 31  batang lagi dirampas daripada penerbangan Ethiopian Airlines dari negara Afrika itu pada 20 Disember lepas.

“Pengirim bungkusan itu mengisytiharkannya sebagai  barangan umum dari Nigeria. Nama dan alamat  pada bungkusan itu tidak wujud,” katanya kepada media di sini dan menambah siasatan ke atas rampasan itu masih berjalan.

Sejak Oktober lalu, pegawai kastam yang ditempatkan di lapangan terbang antarabangsa telah menyita empat batang gading gajah yang lengkap  dan 39 lagi batang gading, 22 batang sumbu badak dan 207 penyu yang terancam.

Chaiyuth  juga berkata, pihak berkuasa juga berjaya merampas 15kg sisik tenggiling dan hidupan liar yang lain termasuk burung dan memerang. – Bernama

Jabatan Kastam Thailand merampas gading gajah seberat 148 kilogram daripada penerbangan Ethiopian Airlines yang berlepas daripada Nigeria di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 20 Dis lepas. – Bernama