Thailand sasar pelaburan getah AS$10 bilion

Thailand sasar pelaburan getah AS$10 bilion

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Thailand menyasarkan untuk menarik pelaburan bernilai AS$10 bilion ke bandar raya getah yang terletak di Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan di daerah Hatyai, Songkhla, kata Duta Thailand di Malaysia, Damrong Kraikuan.

Beliau berkata bandar raya getah dengan fokus utama kepada industri hiliran dan pertengahan bertujuan menjadi pusat bersepadu pengeluaran untuk pemprosessan getah seperti tayar, sarung tangan dan getah sebatian.

Kawasan pengeluaran yang baru diwujudkan itu terletak kira-kira 16 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, 45 km dari pelaburan laut dalam Songkhla dan kira-kira 80 km dari sempadan Malaysia.

Pada fasa awal, luas kawasan yang diperuntukkan bagi bandar raya getah itu adalah 125 hektar, kata Damrong semasa taklimat media di sini hari Ahad.

“Tumpuan kami kini adalah untuk menambah nilai kepada bahan mentah yang kami keluarkan,” katanya.

Beliau berkata Thailand mempunyai output tahunan sebanyak 4.1 juta tan getah asli dan hanya 1.4 juta tan digunakan di peringkat domestik.

Thailand merupakan pengeksport getah terbesar dunia diikuti Indonesia dan Malaysia.

Harga getah asli di Thailand susut dari paras tertinggi 120 baht sekilogram pada 2011 kepada 37 baht ketika ini.

Beliau berkata inisiatif baharu itu akan membantu meningkatkan penggunaan domestik getah dalam keadaan permintaan kurang memberangsangkan dari negara-negara ekonomi besar, dan pada masa yang sama, mendorong melonjakkan harga getah.

“Kami berusaha menggalakkan pelabur yang berpotensi bekerjasama dengan sektor berkaitan termasuk pertanian dan institusi akademik, makmal serta persatuan perniagaan untuk memudahkan dan menghasilkan nilai tambah kepada mereka,” katanya.

Damrong berkata antara lain, pelabur akan dibenarkan memiliki tanah di kawasan perindustrian itu, membawa masuk pakar asing dan dikecualikan daripada cukai pendapatan korporat sehingga lapan tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA