Thailand sekat hasrat Malaysia

Thailand sekat hasrat Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) – Thailand menyekat hasrat skuad Harimau Muda C ke final Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 19 Tahun selepas melakar kemenangan selesa 5-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional Laos, Vientiane, semalam.

Thailand, yang memburu gelaran keempat kejohanan selepas muncul juara pada 2002, 2009 dan 2011, bakal membuat perhitungan dengan Vietnam pada aksi final, Jumaat ini.

Vietnam mara ke final selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas tuan rumah, Laos pada satu lagi aksi separuh akhir yang turut berlangsung di venue yang sama.

Pada aksi hari ini, skuad muda negara kendalian Hassan Sazali Mohd Waras nyata gagal mengekang asakan bertali arus pasukan Thailand yang berjaya mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan.

Ritthidep Phensawat membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi percubaan solo sebelum kapten pasukan, Worachit Kanitsribampen menggandakan jaringan, selang enam minit kemudian selepas beliau bijak menyambar bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol skuad B-19 negara, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly.

Penyerang, Sansern Limwatthana meledak gol ketiga untuk Thailand pada masa kecederaan babak pertama menerusi percubaan menarik daripada jarak 25 meter.

Bersambung separuh masa kedua, Thailand meneruskan asakan ke kubu Malaysia dan berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi Ritthidep pada minit ke-47 sebelum Suksan Mungpao mengesahkan kemenangan untuk skuad ‘Gajah Perang’ muda pada minit ke-71.

Sementara itu, Hassan Sazali memuji persembahan pemainnya kerana telah memberikan tentangan sengit kepada Thailand yang mempamerkan aksi kemas pada perlawanan berkenaan.

Beliau turut berharap agar skuad kendaliannya dapat menjadikan kekalahan berkenaan sebagai satu pengalaman yang berguna bagi menghadapi pusingan kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 2016 di China dari 2 hingga 6 Okt nanti.

Malaysia diundi dalam kumpulan I bersama Macau, Korea Utara dan China selaku tuan rumah.

“Saya akui pasukan lawan mempunyai pemain-pemain yang berkualiti tinggi dari segi hantaran-hantaran kemas mereka terutamanya dari barisan tengah.

“Saya berharap pemain-pemain dapat belajar sesuatu daripada pengalaman ini bagi meneruskan kejohanan ini bagi penentuan tempat ketiga (menentang Laos) pada Jumaat ini,” kata Hassan.

ARTIKEL YANG SAMA