Thailand tahan lima individu, rampas bom paip

Thailand tahan lima individu, rampas bom paip

BANGKOK, 18 Okt – Pihak berkuasa Thailand menahan lima individu dan merampas bom-bom paip dalam satu operasi keselamatan berikutan ugutan individu tidak dikenali untuk melancarkan serangan bom di bandar raya ini.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Jeneral Thawip Netniyom berkata lima lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung isu keselamatan.

“Lima lelaki terbabit dikenal pasti terlibat dengan isu keselamatan. Penahanan mereka ketika operasi keselamatan adalah berkaitan dengan ancaman untuk melancarkan tiga serangan bom kereta di bandar raya ini di antara 25 hingga 30 Okt lepas,” katanya kepada media di Rumah Kerajaan di sini, hari ini.

Anggota polis komando bersenjata menjalankan serbuan bersepadu bermula hujung minggu lepas di kawasan Ramkhamhaeng yang berdekatan Bangkok dan Samut Prakan semalam, di mana lebih 40 orang ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan.

Ramkhamhaeng dikenali sebagai kawasan penempatan rakyat Islam Thailand, di mana kebanyakan mereka berasal dari wilayah selatan negara ini.

Berhubung barang rampasan ketika operasi keselamatan di Bangpli, Samut Prakan semalam, Thawip berkata barangan itu telah dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi menentukan sama ada ia mengandungi bahan letupan.

“Kami masih menunggu hasil ujian makmal itu,” katanya.

Serbuan keselamatan baru-baru ini dilakukan susulan kebocoran satu memo polis bertarikh 8 Okt lepas yang menyatakan bahawa sekurang-kurangnya lima kawasan di wilayah Samut Prakan mungkin diancam serangan bom kereta.

Lima sasaran itu adalah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Jambatan Bhumibol,muzium udara terbuka Siam Kuno, ladang buaya dan zoo Samut Prakan serta muzium Erawan.

Ancaman itu mungkin berkait rapat dengan ulang tahun insiden Tak Bai pada 24 Okt, 2004 yang mengorbankan puluhan nyawa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA