Thailand tidak alami krisis ekonomi

Thailand tidak alami krisis ekonomi

BANGKOK, 27 Ogos (Bernama) – Thailand tidak mengalami krisis ekonomi memandangkan keuntungan syarikat tersenarai kekal kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri (Ekonomi dan Hal Ehwal Ekonomi) yang baharu, Somkid Jatusripitak.

Beliau berkata Thailand berdepan dengan kelembapan pertumbuhan sekarang tetapi disebabkan kurang pemangkin serta keyakinan dan bukannya krisis.

“Ini berbeza dengan keadaan pada 1997 apabila banyak bank, institusi kewangan dan perniagaan terpaksa ditutup,” katanya ketika berucap mengenai ‘Dasar Ekonomi dan Hala Tuju Thailand’ kepada pembuat keputusan perniagaan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa lalu, pertumbuhan negara diterajui eksport tetapi masalah yang dihadapi oleh pasaran global masa kini telah menjejaskan sektor itu sekarang.

Timbalan Perdana Menteri (Ekonomi dan Hal Ehwal Ekonomi), Somkid Jatusripitak.
Timbalan Perdana Menteri (Ekonomi dan Hal Ehwal Ekonomi), Somkid Jatusripitak.

“Ekonomi tempatan lemah dan bersaiz kecil dan ia tidak sepatutnya sedemikian,” katanya.

Somkid berkata harga rendah produk pertanian utama seperti beras dan getah, telah menjejaskan kuasa beli petani manakala perusahaan kecil dan sederhana juga merasakan kesan disebabkan oleh syarat lebih ketat bagi pinjaman daripada bank perdagangan.