Thailand tutup kedutaan di Turki

Thailand tutup kedutaan di Turki

BANGKOK, 10 Julai (AFP) – Thailand pada hari ini menutup kedutaan dan pejabat konsul di Turki selepas satu bantahan ke atas penghantaran penduduk Islam Uighur ke China, tatkala Amerika Syarikat mengingatkan penduduk minoriti itu mungkin berdepan ‘layanan kasar’ sebaik sahaja mereka pulang.

Penutupan sementara kedutaan Thailand di Ankara dan pejabat konsul di Istanbul berlaku selepas penunjuk perasaan anti-China menyerbu pejabat konsul di Istanbul, merosakkan perabot dan merobohkan papan tanda di luar.

Ia adalah bantahan terbaru di Turki berhubung layanan penduduk bertutur Turki, kebanyakannya golongan minoriti di rantau barat laut China Xinjiang, di mana penduduk Uighur berkata mereka menghadapi penindasan budaya dan agama.

Berpuluh lagi dipercayai telah melarikan diri dari kawasan bergolak itu dalam beberapa tahun ini, ada kalanya berkunjung menerusi Asia Tenggara dalam harapan menetap semula di Turki.

Di Thailand, nasib kira-kira 400 penduduk Uighur telah diselubungi ketidakpastian sejak Mac 2014 apabila mereka ditahan kerana masuk secara haram sementara pihak berkuasa mengesahkan kerakyatan mereka di tengah pergelutan di antara Turki dan China mengenai di mana mereka harus dipindahkan.

Kerajaan yang diperintah oleh junta itu mendedahkan semalam kira-kira 100 penduduk Uighur dihantar pulang ke China pada Rabu, sementara kumpulan sebelumnya yang terdiri daripada 172 wanita dan kanak-kanak dihantar ke Turki pada lewat Jun.

Berita penghantaran secara mendadak ke China mencetuskan kecaman antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, kumpulan hak dan PBB serta bantahan di Istanbul.

Di Bangkok, jurucakap kerajaan Thai Werachon Sukhondhapatipak memberitahu wartawan hari ini bahawa “kerajaan telah mengarah kedutaan dan pejabat konsul Thai supaya ditutup buat sementara waktu hari ini.”

“Kami akan menilai keadaan setiap hari,” kata beliau, menambah keadaan adalah terkawal buat masa sekarang tanpa menjejaskan mana-mana rakyat Thai, sementara rakyat telahpun diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

ARTIKEL YANG SAMA