Thailand ungguli ASG 2016

Thailand ungguli ASG 2016

CHIANG MAI, Thailand, 31 Julai – Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) kali ke-8 menutup tirainya dengan majlis penutupan rasmi yang diadakan di International Convention and Exhibition Center, Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini.

Majlis penutupan rasmi tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Prof. Madya Chavance Tongroach, selaku Pengerusi Komiti Penyelaras Kejohanan dengan penurunan bendera Negara Thailand dan bendera rasmi kejohanan. Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam di majlis penutup tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Majlis juga diteruskan dengan penyerahan bendera rasmi kejohanan kepada wakil Singapura, yang akan menjadi tuan rumah kejohanan tersebut pada tahun hadapan iaitu 2017.

Upacara penyerahan bendera tersebut dimulakan dengan penyerahan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Jasmani, Dr. Panya Hanluamyuang, dan Prof. Madya Chavance Tongroach kepada Pengarah Bahagian (Pembangunan Pelajar Bahagian Kurikulum), Kementerian Pendidikan, Singapura, Liew Weili.

Gambar ramai bersama perwakilan dari negara-negara ASEAN yang menyertai sukan tersebut.
Gambar ramai bersama perwakilan dari negara-negara ASEAN yang menyertai sukan tersebut.

Kejohanan tahun ini telah dikuasai oleh negara tuan rumah, Thailand, dengan mengutip pingat sebanyak 125 pingat (56 emas, 36 perak dan 33 gangsa). Ini merupakan kali keempat Thailand menggondol di tempat pertama dalam kutipan keseluruhan pingat dan merupakan negara yang terbanyak mengutip pingat secara keseluruhan sejak kejohanan ini bermula pada tahun 2009. Thailand telah pun menjadi tuan rumah kali kedua pada tahun ini.

Kejohanan sukan tersebut diadakan selama sembilan hari bermula pada 21 hingga 29 Julai dengan keramaian peserta seramai 1,600 orang atlet.

Sebanyak lapan buah Negara Asean yang menyertai kejohanan tahun ini iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Singapura, Vietnam dan juga Thailand dengan 11 acara sukan telah dipertandingkan.

Selain menjadi acara sukan tahunan, kejohanan sukan tersebut juga bertujuan untuk mengeratkan talian silaturahim antara pelajar-pelajar di rantau ini. Singapura akan menjadi tuan rumah bagi ASG ke-9 pada tahun 2017.

ARTIKEL YANG SAMA