Thailand unjur pertumbuhan eksport 5 peratus

Thailand unjur pertumbuhan eksport 5 peratus

BANGKOK, 28 Dis – Thailand mengunjurkan pertumbuhan eksport 5.0 peratus tahun depan kepada kira-kira AS$225 bilion, tetapi ia menjangka melaporkan kejatuhan eksport 5.5 peratus kepada AS$215 bilion tahun ini.

Tahun ini akan menjadi tahun ketiga berturut-turut kemerosotan eksport negara itu dan lebih tinggi daripada tiga peratus kejatuhan diunjurkan sebelum ini, disebabkan harga minyak global yang lemah, kata Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan.

Minyak dan produk minyak menyumbang kira-kira 10 peratus eksport Thailand dan ia mengunjurkan harga purata komoditi itu jatuh kepada AS$50.4 setong pada 2016 berbanding AS$51.6 setong tahun ini.

Bagaimanapun, harga pada Disember sudah jatuh kepada sekitar AS$36 setong.

Eksport Thailand pada Januari hingga November susut 5.51 peratus kepada AS$197.27 bilion dan import jatuh 11.16 peratus kepada AS$187.04 bilion.

Pandangan menyeluruh pelabuhan Laem Chabang di wilayah Chonburi, timur Bangkok pada 22 Julai 2012. Eksport Thailand menurun selama 11 bulan berturut-turut pada November. – Reuters
Pandangan menyeluruh pelabuhan Laem Chabang di wilayah Chonburi, timur Bangkok pada 22 Julai 2012. Eksport Thailand menurun selama 11 bulan berturut-turut pada November. – Reuters

Ia membolehkan negara itu mencatat lebihan dagangan AS$10.23 bilion pada 11 bulan pertama.

Pada November, eksport merosot 7.42 peratus kepada AS$17.16 bilion dan import susut 9.53 peratus kepada AS$16.86 bilion.

Perdagangan sempadan dengan negara jiran dan sektor perkhidmatan yang dirangsang sektor pelancongan memberi sumbangan positif kepada ekonomi.

Perdagangan sempadan di antara Thailand dengan negara jiran seperti Malaysia, Myanmar, Laos dan Kemboja meningkat 6.42 peratus kepada 957.79 bilion baht pada 11 bulan pertama tahun ini.

Pelancongan yang menyumbang 72.7 peratus kepada pendapatan dalam sektor perkhidmatan, mencatat pertumbuhan 21.9 peratus kepada AS$32.3 bilion dalam sembilan bulan pertama. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA