The Accountant bukti Ben Affleck masih berpengaruh

The Accountant bukti Ben Affleck masih berpengaruh

LOS ANGELES – The Accountant yang dibintangi oleh Ben Affleck berjaya mendominasi carta box office dengan jumlah kutipan sebanyak AS$24.7 juta setelah ditayangkan di 3,222 buah pawagam di Amerika Utara.

Ternyata jangkaan awal bahawa filem tersebut hanya akan berjaya mengumpulkan kutipan di antara AS$18 ke AS$20 juta jelas meleset.

Sementera Kevin Hart: What Now? yang mempertaruhkan elemen komedi pula berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$12 juta setelah ditayangkan di 2,568 buah pawagam sekali gus menduduki tangga kedua dalam carta box office.

Manakala nasib kurang menyebelahi filem Max Steel yang menampilkan elemen aksi apabila hanya berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$2.1 juta setelah ditayangkan di 2,034 pawagam.

Kutipan yang diperolehi oleh filem The Accountant yang diterbitkan oleh Warner Bros ini AS$200,000 lebih tinggi berbanding juara minggu lalu, The Girl on the Train lakonan Emily Blunt yang harus akur berada di tangga ketiga dalam carta box office setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$11.9 juta.

Ben Affleck melakonkan watak seorang akauntan forensik di dalam filem The Accountant.
Ben Affleck melakonkan watak seorang akauntan forensik di dalam filem The Accountant.
Kevin Hart: What Now?  merupakan sebuah filem autobiografi yang menjalani rakaman penggambaran di Philadelphia.
Kevin Hart: What Now? merupakan sebuah filem autobiografi yang menjalani rakaman penggambaran di Philadelphia.
Emily Blunt melakonkan watak seorang wanita yang mengalami masalah ketagihan alkohol dalam filem The Girl on the Train.
Emily Blunt melakonkan watak seorang wanita yang mengalami masalah ketagihan alkohol dalam filem The Girl on the Train.

Sebanyak AS$40 juta telah dilaburkan untuk merealisasikan filem The Accountant yang mengisahkan mengenai Christian Wolff lakonan Ben Affleck yang menghidap autisme namun memiliki kepintaran dalam Matematik dan dilantik selaku seorang akauntan forensik di dalam sebuah organisasi penjenayah yang berbahaya.

Filem yang diarahkan oleh Gavin O’Connor itu turut dibintangi oleh Anna Kendrick, J.K. Simmons, Jon Bernthal, Jeffrey Tambor dan John Lithgow.

Secara purata, 86 peratus daripada penonton yang memilih untuk menonton filem ini di pawagam adalah golongan individu yang berusia 25 tahun ke atas.

The Accountant juga berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$2.8 juta setelah ditayangkan di 1,190 buah pawagam di 10 buah negara di mana AS$755,500 sahaja datang daripada hasil tayangan di 109 buah pawagam di Taiwan dan jumlah tersebut dijangka meningkat apabila filem ini mula ditayangkan di Jerman, Brazil dan Sepanyol.

Beberapa buah filem terdahulu lakonan Ben Affleck di bawah terbitan Warner Bros juga berjaya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan seperti The Town pada tahun 2010 yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$ 154 juta, Argo yang ditayangkan pada tahun 2012 berjaya mengutip sebanyak AS$232 juta dan Gone Girl yang ditayangkan pada tahun 2014 berjaya mengutip sebanyak AS$369 juta secara keseluruhan.

Antara karakter ditampilkan dalam filem Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children.
Antara karakter ditampilkan dalam filem Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children.
Babak yang menampilkan para pekerja pelantar minyak harus berusaha untuk menyelamatkan nyawa mereka dalam Deepwater Horizon.
Babak yang menampilkan para pekerja pelantar minyak harus berusaha untuk menyelamatkan nyawa mereka dalam Deepwater Horizon.

Selain itu, beberapa projek filem lakonan Ben Affleck yang menanti tarikh tayangan adalah Live by Night yang bakal ditayangkan pada Hari Krismas dan beraksi sebagai Batman dalam filem Justice League yang bakal ditayangkan pada tahun 2017.

Kevin Hart: What Now? pula merupakan filem autobiografi yang lebih menumpukan kepada aksi persembahan komedi Kevin sendiri yang difilemkan di Philadelphia pada Ogos 2015 dan turut menampilkan beberapa orang bintang lain seperti Halle Berry dan Don Cheadle.

Secara purata kutipan sebanyak AS$12 juta yang diperolehi oleh filem yang diarahkan oleh Leslie Small dan Tim Story itu telah berjaya mengaut keuntungan memandangkan jumlah yang dilaburkan untuk membiayai filem tersebut adalah sebanyak AS$10 juta.

Miss Perregrine’s Home for Peculiar Children keluaran Fox pula menduduki tangga keempat setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$8.9 juta sekaligus menjadikan jumlah yang berjaya dikumpul secara keseluruhan menjadi AS$65.8 juta setelah tiga minggu ditayangkan di pawagam.

Manakala filem Deepwater Horizon lakonan Mark Wahlberg pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$6.4 juta sekaligus menjadikan jumlah yang terkumpul secara keseluruhan menjadi AS$49.3 juta.