The Blues belasah City

The Blues belasah City

LONDON, 22 Feb (Reuters) – Chelsea memanfaatkan keputusan Manchester City untuk membariskan skuad lebih lemah dengan kemenangan 5-1 pada pusingan kelima Piala FA, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Chelsea ke suku akhir bersama-sama seteru London, West Ham United dan Crystal Palace.

Beraksi di laman sendiri, Stamford Bridge, The Blues terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 namun serangan balas pantas menyaksikan ia disamakan, dua minit kemudian.

Gol penyamaan City itu dijaringkan pemain muda, David Faupala dengan tiada tambahan jaringan sehingga berakhir babak pertama.

Seakan sudah memanaskan badan, pemain-pemain Chelsea mula menampilkan belang mereka dengan pesta jaringan mereka dimulakan ketika babak kedua perlawanan baru bermula tiga minit menerusi Willian.

Aksi Gary bersaing merebut bola dengan Bersant Celina ketika perlawanan Chelsea menentang Manchester City. Gary menjaringkan gol ketiga bagi Chelsea pada minit ke-53. - Reuters
Aksi Gary bersaing merebut bola dengan Bersant Celina ketika perlawanan Chelsea menentang Manchester City. Gary menjaringkan gol ketiga bagi Chelsea pada minit ke-53. – Reuters

Gary Cahill meledak gol ketiga Chelsea pada minit ke-53 sebelum perancang tengah bermasalah, Eden Hazard menamatkan kemarau jaringannya pada minit ke-67. Pemain gantian, Bertrand Traore melengkapkan jumlah jaringan Chelsea pada minit ke-89 sekali gus menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut buat City.

City, yang akan menentang Liverpool pada final Piala Liga di Wembley Ahad depan, kini mengutip kekalahan ketiga berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.

Chelsea akan berdepan cabaran sukar pada pusingan seterusnya di Everton, pasukan yang mereka tewaskan pada aksi final Piala FA 2009.

Ganjaran bagi Crystal Palace yang menewaskan pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur 1-0 ialah kunjungan ke kelab divisyen dua, Reading, yang mengejutkan West Bromwich Albion, kelmarin.

West Ham United akan bertemu Manchester United atau kelab divisyen tiga, Shrewsbury Town selepas menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers 5-1.

Dimitri Payet dan Emmanuel Emenike masing-masing meledak dua gol untuk West Ham.