The Foxes kian hampir juara

The Foxes kian hampir juara

LONDON, 11 April (AFP) – Dua gol jaringan Jamie Vardy membawa Leicester City semakin hampir kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama mereka.

Pendahulu liga itu menewaskan Sunderland 2-0 di Stadium of Light dengan Vardy menamatkan kemarau jaringan lima perlawanan dengan menambah koleksi jaringannya musim ini kepada 21 gol.

Kemenangan itu meletakkan Leicester 10 mata di depan Tottenham Hotspur buat seketika sebelum penghuni tangga kedua itu bertemu Manchester United.

Sunderland pula empat mata dari garis selamat dengan enam perlawanan berbaki. Pada perlawanan malam tadi, Sunderland berjaya mengikat pendahulu sehingga minit ke-66 tetapi terpaksa akur apabila Vardy menerima hantaran jauh daripada Danny Drinkwater.

Dalam masa kecederaan, penyerang England itu menambah jaringan selepas menewaskan pertahan dan penjaga gol Vito Mannone untuk menolak mudah bola ke dalam gawang yang terbuka.

Vardy menjaringkan gol kedua buat Leicester pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Sunderland semalam. – Reuters
Vardy menjaringkan gol kedua buat Leicester pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Sunderland semalam. – Reuters

Kemenangan itu menyaksikan Leicester semakin hampir untuk melengkapkan perjalanan bersejarah daripada sebuah pasukan yang bergelut dalam zon penyingkiran tahun lalu kepada juara tahun ini.

Sementara itu, Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri menepis tanggapan dia terlalu beremosi selepas The Foxes semakin hampir merealisasikan impian menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ranieri meninggalkan padang dengan tangisan selepas jaringan berganda babak kedua Jamie Vardy memastikan mereka mencatat kemenangan sukar 2-0 ke atas pasukan di zon penyingkiran Sunderland, malam tadi.

Sebaik berakhir minggu ke-33, Leicester kekal tujuh mata mengatasi pencabar tangga kedua Tottenham Hotspur, dengan kisah dongeng mereka untuk merangkul gelaran liga tidak menunjukkan tanda-tanda akan terpadam begitu saja. Jika Leicester mencatat tiga kemenangan daripada baki lima perlawanan, mereka akan dimahkotakan sebagai juara buat pertama kali dalam sejarah 132 tahun kelab itu, melainkan ada kejutan dari Spurs atau mana-mana pasukan.

“Ia sangat sukar menggambarkan perasaan saya ketika ini,” kata Ranieri yang selepas itu memberi dedikasi kemenangan itu kepada 2,500 penyokong Leicester yang berkunjung ke Stadium of Light.

“Saya ingin berterima kasih kepada penyokong kami. Hari ini, apabila kami tiba di stadium, ia seperti kami berada di Leicester,” tambah pengendali dari Itali itu.

“Saya tidak fikir menunjukkan emosi yang terlalu berlebihan atau berkurangan, tetapi saya hanya gembira dengan kemenangan ke atas pasukan Sunderland yang begitu liat untuk ditewaskan.”

Kemenangan malam tadi juga menyaksikan mereka sudah menempah tiket ke Liga Juara-Juara.

ARTIKEL YANG SAMA