The Foxes kian licik

The Foxes kian licik

LEICESTER, 15 Mac (AFP) – Jaringan menakjubkan Shinji Okazaki membolehkan The Foxes meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle United, sekali gus kembali berkelebihan lima mata sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Gol keenam yang dijaringkan pemain Jepun itu musim ini membolehkan mereka kini berada lima mata di hadapan pasukan di tangga kedua, Tottenham Hotspurs dan anak buah Claudio Ranieri itu kini sudah semakin hampir untuk meraih kejuaraan liga musim ini.

“Bukan aksi terbaik kami tetapi kami menunjukkan semangat yang hebat,” kata Ranieri yang perlu memenangi 20 mata daripada lapan perlawanan terakhirnya untuk memenangi kejuaraan liga.

“Saya rasa kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Crystal Palace. Kami sangat kuat dan hanya memikirkan satu perlawanan demi satu perlawanan. Itu falsafah kami.”

Okazaki (kanan) meraikan bersama rakan pasukan selepas menjaringkan gol dalam aksi bertemu Newcastle di Stadium King Power, semalam. – Reuters
Okazaki (kanan) meraikan bersama rakan pasukan selepas menjaringkan gol dalam aksi bertemu Newcastle di Stadium King Power, semalam. – Reuters

Keputusan terbabit juga menyaksikan Newcastle yang dibimbing pengendali baharu, Rafa Benitez mencatat kekalahan empat kali berturut-turut dengan Leicester City melengkapkan dua kemenangan dalam aksi liga menentang kelab timur laut England itu buat kali pertama sejak 1974.

Pasukan pelawat itu menunjukkan sedikit peningkatan pada aksi di Stadium King Power, namun mereka masih kekal di zon penyingkiran dengan Benitez bakal berhadapan tugas besar untuk aksi tetangga menentang Sunderland, Ahad ini.

“Saya akan terus berfikiran positif kerana kami bermain dengan baik dan saya dapat merasakan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan mereka.

“Banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan ini dan mereka menunjukkan keyakinan mereka untuk menang,” katanya.