The Foxes rai kejayaan

The Foxes rai kejayaan

LEICESTER, 17 Mei (AFP) – Kisah dongeng juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City sampai ke kemuncaknya apabila sambutan perarakan meraikan kejayaan mereka dihadiri 240,000 peminat yang menyebabkan bandar itu dipenuhi dengan peminat berbaju biru, semalam.

Selepas dua minggu sejak pasukan bimbingan Claudio Ranieri itu mencipta sejarah dimahkotakan sebagai juara, bandar Leicester tidak pernah berhenti meraikan kejayaan itu dengan parti diadakan 24 jam selepas kelab dengan jolokan The Foxes itu mengakhiri kempen dengan seri 1-1 di Chelsea, kelmarin.

Selepas memulakan musim sebagai pasukan bukan pilihan kejuaraan, Leicester berjaya mengubahnya dengan melakar sejarah penuh bergaya dan skuad Ranieri meraikan bersama pengerusi kelab dari Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha yang turut disertai keluarganya.

“Bandar ini berada di sini. Ia adalah sesuatu yang istimewa,” kata Ranieri. “Ini kerana pasukan ini bermain dengan jiwa dan raga. Orang ramai memahami itu. Ia sukar dipercayai. Saya hanya boleh berterima kasih kepada orang ramai.”

Claudio Ranieri (tengah) berdiri bersama trofi Liga Perdana ketika pasukan The Foxes berarak menggunakan bas bumbung terbuka kelmarin. – AFP
Claudio Ranieri (tengah) berdiri bersama trofi Liga Perdana ketika pasukan The Foxes berarak menggunakan bas bumbung terbuka kelmarin. – AFP

Peminat mula memenuhi jalan biarpun sebelum 5 petang waktu tempatan di mana jadual perarakan bermula dengan berhimpun di Victoria Park, di mana pentas utama bagi pemain diraikan di penghujung perarakan.

Ribuan peminat lain berparti dengan memakai baju biru kelab itu, sementara ratusan bendera biru dan putih dikibarkan kanak-kanak dengan muka masing-masing dicat warna kelab.

Aiyawatt Srivaddhanaprabha, anak lelaki kepada pemilik Vichai, hampir menitiskan air mata apabila sampai ke pentas utama dan berucap kepada para hadirin.

“Saya rasa kami perlukan stadium yang lebih besar. “Anda semuanya mengagumkan dan saya harap sokongan diteruskan pada musim depan.”