‘The Good France’ ketengah masakan Brunei-Perancis

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Negara Brunei Darussalam dan Perancis mempunyai masakan yang unik di mana gastronomi istimewa Brunei dan Perancis bakal diketengahkan semasa acara istimewa, The Good France yang akan diadakan di kediaman rasmi Duta Perancis di Negara Brunei Darussalam.

Acara itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan masakan dari kedua-dua buah negara tetapi ia menunjukkan bahawa gastronomi merupakan satu elemen penting kepada identiti dan budaya bagi masyarakat kedua-dua buah negara.

Demikian menurut Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika berucap pada Perasmian Minggu Francophonie 2017 yang berlangsung di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kiulap, malam tadi.

Menurut beliau, kementeriannya telah melancarkan Minggu Gastronomi Brunei buat kali pertamanya baru-baru ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 dan telah mendapat sambutan serta maklum balas yang amat menggalakkan.

Menyentuh mengenai dengan sambutan Minggu Francophonie, beliau berkata, ia merupakan platform yang tepat untuk mengetengahkan dan menonjolkan budaya, khazanah, warisan dan tarikan di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan filem pendek.
Yang Berhormat Dato menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan filem pendek.
Yang Berhormat Dato ketika meninjau pondok makanan yang mempamerkan pelbagai masakan tradisional Brunei dan Perancis.
Yang Berhormat Dato ketika meninjau pondok makanan yang mempamerkan pelbagai masakan tradisional Brunei dan Perancis.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyeru supaya lebih banyak sektor swasta terus melibatkan diri dalam menganjurkan acara antarabangsa yang setentunya akan menyumbang kepada usaha untuk mengembangkan sektor pelancongan negara.

Ia juga akan menambah lagi acara tarikan pelancongan, menjana peluang pekerjaan dan industri sokongan kepada ekonomi Negara Brunei Darussalam, ujar beliau.

Di samping itu pertandingan filem pendek bertema, ‘Brunei, Je Taime’ merupakan platform yang baik bagi pembuat filem tempatan untuk mengetengahkan kreativiti dan bakat mereka.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan penghargaan kepada Kedutaan Perancis dan Alliance Francaise de Brunei kerana memberikan peluang kepada para penggiat seni tempatan untuk mengetengahkan dan menerokai kreativiti mereka serta mempromosikan Brunei menerusi karya mereka.

Terdahulu, Duta Besar Perancis ke Brunei Darussalam, Loan Forgeron dalam ucapan alu-aluannya berkata, sambutan Minggu Francophonie 2017 merupakan acara yang amat istimewa kerana ia mengete-ngahkan pelbagai matlamat utama iaitu untuk membuka minda masyarakat dengan menggalakkan perkongsian idea, berdialog dan untuk mempromosikan kesefahaman di antara satu sama yang lain.

Selain itu, ia juga untuk mempromosi bakat-bakat muda Brunei bukan sahaja dalam bidang perfileman tetapi juga dalam bidang seni, keusahawanan dan masakan. Pada majlis berkenaan, para jemputan berpeluang untuk menyaksikan sebanyak 12 buah filem pendek yang menyertai Pertandingan Filem Pendek bertajuk Brunei, Je Taime (Brunei, I Love You) daripada para peserta tempatan.

Ia menggabungkan elemen kreatif, Bahasa Perancis serta jalan cerita yang mengetengahkan keunikan, tarikan dan kecantikan Negara Brunei Darussalam. Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara pertandingan berkenaan. Minggu Francophonie merupakan acara antarabangsa yang disambut di seluruh negara pada minggu terakhir bulan Mac setiap tahun sebagai meraikan keindahan Bahasa Perancis serta memberikan peluang untuk masyarakat dari pelbagai budaya untuk berkumpul dan memahami di antara satu sama yang lain dengan mempelajari bahasa masing-masing.

Acara sambutan di Brunei dianjurkan oleh Alliance Francaise de Brunei dengan kerjasama Kedutaan Perancis di Negara Brunei Darussalam. Pelbagai acara diaturkan bagi memeriahkan acara sambutan termasuk pasar malam, tayangan filem dan persembahan istimewa daripada penyanyi jemputan, Axelle Red pada 26 Mac nanti di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.