The Gunners bangkit

The Gunners bangkit

LONDON, 17 Ogos (AFP) – Arsenal kembali ke landasan tepat selepas kalah pada hari pembukaan apabila jaringan voli menakjubkan Olivier Giroud mencetus inspirasi kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Pasukan Arsene Wenger diaibkan dengan kekalahan 0-2 di laman sendiri kepada West Ham United hujung minggu lalu namun mereka berjaya memulihkan keyakinan dengan persembahan memukau di Selhurst Park.

Walaupun ia masih jauh daripada persembahan sebenar Arsenal, ada alasan buat Wenger untuk bergembira terutama kerana gol penyerang Perancis, Giroud yang dikritik hebat membuka tirai jaringan pada babak pertama.

Juga membanggakan Wenger adalah cara Arsenal tidak tergugat dengan gol penyamaan Joel Ward sebelum kembali mendahului menerusi jaringan sendiri Damien Delaney dan bertahan dengan baik pada lewat saingan bagi memastikan kemenangan sulung musim ini.

Gunners tidak tewas di Palace sejak 1979 dan meneruskan rekod itu penting ketika pasukan Wenger cuba mengelakkan diri daripada mengulangi permulaan buruk yang menjejaskan cabaran kejuaraan mereka musim lalu.

Olivier Giroud (kanan) meraikan jaringan semasa menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park semalam. – Reuters
Olivier Giroud (kanan) meraikan jaringan semasa menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park semalam. – Reuters

Kunci kepada harapan Arsenal memburu kejuaraan pertama sejak 2004 adalah kelibat Alexis Sanchez, pemain sayap Chile yang tampil lewat musim ini selepas membantu kemenangan negaranya pada kempen Copa America.

Anak buah Wenger berhak mendahului seawal minit ke-16. Dikritik hebat penyokong Arsenal kerana persembahan tidak konsisten musim lalu, Giroud masih mendapat sokongan Wenger dan dia berjaya melenyapkan kritikan terhadapnya buat seketika.

Mesut Ozil yang meluru di bahagian kiri kotak penalti lawan, melakukan hantaran ke arah Giroud dan dari jarak 12 meter penyerang Perancis itu melakukan sepakan voli kaki kiri melepasi jangkauan penjaga gol Palace, Alex McCarthy bagi gol pertamanya musim ini. Namun benteng Arsenal dilihat masih rapuh dan terdedah pada minit ke-28 apabila Palace berjaya menyamakan kedudukan. Pertahanan kanan Ward tidak berdepan masalah mengatasi penjaga gol Petr Cech dengan satu gol menakjubkan.

Arsenal bagaimanapun bertuah apabila pada minit ke-55 tandukan Sanchez menerusi hantaran silang Hector Bellerin ditampan masuk ke dalam jaring sendiri oleh kapten Palace, Delaney.