The Gunners bedil Chelsea

The Gunners bedil Chelsea

LONDON (Reuters) – Juara Piala FA, Arsenal berjaya mempertahankan Perisai Komuniti selepas menumpaskan musuh tradisinya Chelsea 1-0 di Stadium Wembley malam tadi, sekali gus menamatkan penantian sekian lama Arsene Wenger untuk menang ke atas bos juara Liga Perdana Inggeris, Jose Mourinho.

Pemain tengah skuad The Gunners, Alex Oxlade-Chamberlain muncul wira selepas meledak jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-24.

Pemain berusia 21 tahun itu menerima hantaran dari Theo Walcott sebelum mengelirukan pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta dan melepaskan tendangan kaki kiri dari sudut kanan kotak penalti.

Ini merupakan kemenangan pertama pengendali skuad The Gunners, Wenger selepas 14 pertemuan dengan Mourionho dan keputusan tersebut merupakan amaran awal kepada Chelsea bahawa Arsenal akan memberi tentangan hebat dalam persaingan musim 2015-16.

Chelsea merangkul kejuaraan pada Mei lalu setelah meninggalkan jauh pencabar lain dengan berkelebihan lapan mata di hadapan pasukan di tempat kedua, Manchester City dan misi merebut trofi kejuaraan musim baharu akan membuka tirai pada Sabtu ini.

Pemain Gunners meraikan Piala Perisai Komuniti selepas menewaskan Chelsea di Stadium Wembley semalam. – AFP
Pemain Gunners meraikan Piala Perisai Komuniti selepas menewaskan Chelsea di Stadium Wembley semalam. – AFP

Arsenal mendominasi babak pertama perlawanan dan menterjemahkan penguasaan mereka menerusi jaringan yang menakjubkan oleh Oxlade-Chamberlain.

Chelsea cuba meningkatkan rentak permainan mereka pada separuh masa kedua dengan penyerang baharu Radamael Falcao, yang dipinjam daripada Monaco, dimasukkan untuk membantu bahagian serangan.

Penjaga gol Petr Cech, yang membuat penampilan sebanyak 500 kali bersama Chelsea sebelum menyertai Arsenal dan mendapat sorakan daripada peminat sebelum perlawanan, membuktikan kehebatannya dengan menafikan sepakan bebas Oscar pada minit ke-69.

Chelsea nampak tertekan untuk menyamakan kedudukan namun tidak banyak membuat ancaman di hadapan gol selain penyerang Sepanyol, Diego Costa diketepikan kerana cedera.

Malah, pemain sayap Belgium, Eden Hazard gagal memanfaatkan peluang pada babak kedua apabila tendangannya tersasar daripada gawang Arsenal.

Arsenal pula merehatkan bintangnya termasuk Alexis Sanchez yang membantu Chile memenangi Copa America.

ARTIKEL YANG SAMA