The Joker nafi main tipu

The Joker nafi main tipu

LONDON, 1 Julai (AFP) – Novak Djokovic, Serena Williams dan Maria Sharapova melangkah ke pusingan kedua Wimbledon sambil juara edisi 2002, Lleyton Hewitt kecewa apabila karier Kelab Seluruh England yang sudah 17 tahun menjadi miliknya, musnah.

Juara bertahan, Djokovic menang 6-4, 6-4, 6-4 ke atas pemain Jerman Philipp Kohlschreiber, tetapi pemain nombor satu dunia yang juga pilihan utama itu sekali lagi berdepan dakwaan yang mengatakan jurulatihnya, Boris Becker memberi tunjuk ajar dari luar gelanggang sedangkan perbuatan itu tidak dibenarkan.

“Saya masih cuba memikirkan apakah sebenarnya yang mereka dapat hasil tuduhan seperti ini. Adakah mereka mahu mengatakan bahawa saya dan pasukan saya menipu?” kata Djokovic, 28.

Bintang Serbia itu menambah: “Terdapat beberapa cara untuk berkomunikasi di antara jurulatih serta pemain.

Ada kaedah tertentu untuk menggalakkan, menyokong atau saat di mana jurulatih mengatakan sesuatu bagi menaikkan semangat anak buahnya. Apa yang dilakukan oleh jurulatih saya tidak menyalahi peraturan.”

Djokovic ketika menentang Philipp Kohlschreiber di Wimbledom semalam. – AFP
Djokovic ketika menentang Philipp Kohlschreiber di Wimbledom semalam. – AFP

Lawan Djokovic selepas ini ialah pemain Finland Jarkko Nieminen yang mengalahkan Hewitt 3-6, 6-3, 4-6, 6-0, 11-9 dalam tempoh empat jam.

Ia adalah aksi perseorangan terakhir buat Hewitt di kejohanan itu – serta aksi lima set ke-44 baginya di kejohanan utama – ketika dia merancang untuk bersama selepas Terbuka Australia musim depan. “Saya bukan orang yang mudah mengalirkan air mata – ia hampir berlaku hari ini,” kata Hewitt.

Pilihan utama, Serena yang mahu memburu gelaran selaku wanita pertama sejak Steffi Graf memenangi empat kejohanan utama semusim, memulakan cabaran dengan agak perlahan sebelum menang 6-4, 6-1 ke atas Margarita Gasparyan, pemain Russia yang menduduki tangga ke-113 dunia.

“Setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Baru satu perlawanan, tetapi saya seronok dapat kembali bermain di Wimbledon. Saya biasanya dapat melakukan tugasan dengan baik di sini. Justeru, saya memiliki banyak kenangan manis,” katanya.

Sementara itu, pilihan keempat, Maria turut layak ke pusingan kedua selepas menang 6-2, 6-2 ke atas pemain Britain Johanna Konta.

“Saya gembira dengan permainan saya setakat ini. Ia adalah aksi kompetitif pertama dalam tempoh empat minggu dan saya perlu mempamerkan kebolehan,” kata bintang Rusia itu.