‘The Lactic Labi Ride’ 4 September ini

‘The Lactic Labi Ride’ 4 September ini

Oleh Normazlina M.D

 

KUALA BELAIT, 1 Sept – Bersempena Hari Keluarga Kebangsaan, Raw Food Asia dengan kerjasama Syarikat Geotrax, AZ Back to Nature dan ASAFF Solution akan mengadakan ekspedisi berbasikal dinamakan ‘The Lactic Labi Ride’ pada 4 September ini, di Taman Rekreasi Sungai Liang.

Menurut Peguam Berbasikal Brunei (Brunei’s Cycling Lawyer), Mewsum Wong dalam sidang media petang tadi, kira-kira 250 orang peserta sudah pun berdaftar untuk mengikuti ekspedisi sejauh 85km pada Ahad ini.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kegiatan berbasikal yang merupakan aktiviti sihat selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keselamatan jalan raya bagi penunggang basikal, serta menjadikan Brunei sebagai destinasi mesra pilihan peminat berbasikal di rantau ASEAN.

Menurut Mewsum, pihak penganjur memilih kawasan Labi kerana lokasinya yang sesuai untuk orang ramai beriadah sambil berbasikal yang mana kawasan tersebut tidak mengalami kesesakan lalu lintas dan mengambil peluang untuk menikmati persekitaran Kampung Labi dan Sungai Liang.

Acara itu nanti juga akan menampilkan tujuh orang pakar berbasikal berlipat dari Hong Kong bagi memeriahkan lagi suasana ekspedisi.

Mewsom Wong (kanan) dan Awang Reduan (kiri) mempromosikan basikal berlipat dan poster ‘The Lactic Labi Ride’ yang akan diadakan pada 4 September ini.
Mewsom Wong (kanan) dan Awang Reduan (kiri) mempromosikan basikal berlipat dan poster ‘The Lactic Labi Ride’ yang akan diadakan pada 4 September ini.

Pakar berbasikal berlipat berkenaan akan mengongsikan pengalaman mereka menunggang basikal sekitar Borneo termasuk Negara Brunei Darussalam dan mempromosikan basikal berlipat yang semakin popular.

Di akhir acara itu nanti, peserta-peserta berbasikal juga akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik termasuk Scott Mountain Bike bernilai $1,400 dan baucar wang tunai $100 bagi barangan aksesori basikal.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dengan mengambil tiket percuma di Syarikat Geotrax di Sungai Liang atau menghubungi Mewsom Wong di talian 8957528 atau mengunjungi mana-mana cawangan Syarikat Triple Star.

Dalam pada itu, Pemilik Syarikat Geotrax, Awang Reduan bin Haji Yusof berharap peserta-peserta ekspedisi berbasikal ini nanti akan dapat bersedia lebih awal dan memastikan basikal yang digunakan selamat, dan sentiasa mengikut arahan yang disediakan oleh penganjur dan Pasukan Polis Diraja Brunei semasa acara itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA