The Manhattan...

The Manhattan Fish buka cawangan di Brunei

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Restoran makanan laut The Manhattan Fish Market, yang dikenali di pasaran antarabangsa, kini telah membuka francais pertamanya di Brunei yang terletak di Bangunan Setia Kenangan II, Kiulap.

Hadir bagi merasmikan restoran itu petang tadi ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman selaku tetamu kehormat bersama Pemegang Francais Induk di Negara Brunei Darussalam, Dayang Haslinda binti Mohd Fauzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Valley Group, George Ang.

Syarikat Nutrafood Resources Sdn Bhd merupakan pemilik francais restoran tersebut di negara ini yang telah merancang untuk membuka dua lagi cawangan pada masa akan datang.

Restoran berkenaan yang membawakan konsep hidangan laut yang segar dan berperisa itu mempunyai sejarah lebih 180 tahun lalu yang mendapat inspirasi daripada sebuah pasar ikan terkenal Fulton Fish Market, Manhattan di Amerika Syarikat.

Datuk Ghulam Jelani bersama Dayang Haslinda dan George Ang semasa merasmikan Restoran The Manhattan Fish Market.
Datuk Ghulam Jelani bersama Dayang Haslinda dan George Ang semasa merasmikan Restoran The Manhattan Fish Market.
Datuk Ghulam Jelani semasa menyaksikan hidangan yang disediakan.
Datuk Ghulam Jelani semasa menyaksikan hidangan yang disediakan.

Setelah lebih 12 tahun berada di pasaran, The Manhattan Fish Market telah menarik ramai peminat dengan pelbagai jenis hidangan istimewa yang asli dan unik serta dengan lima cara masakan yang berbeza iaitu panggang, goreng, bakar dan rebus serta ditunu.

Restoran berkenaan telah beroperasi dalam 13 buah negara dengan 73 buah restoran seperti di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Oman, Myanmar, Jepun, Bangladesh, Qatar, Amiriah Arab Bersatu, Brunei dan juga Maldives.

Antara hidangan yang digemari ramai adalah Manhattan Fish ‘n Chips, Mediterranean Baked Fish, Garlic Herb Mussels, Salmon bakar dengan sos lada sulah, Manhattan Flaming Seafood Platter, Manhattan Mud Pie, Manhattan Flaming Prawns dan juga Small Grill.