The Muffin Me...

The Muffin Method sertai FoodPanda Brunei

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Kedai roti Muffin Method kini menyertai lebih 86 syarikat lain bagi perkhidmatan penghantaran di bawah FoodPanda Brunei, yang akan memberikan perkhidmatan penghantaran produk-produk The Muffin Method.

Kerjasama berkenaan dirasmikan dengan penandatanganan kontrak yang diadakan di Kedai Pica-Pica, Menglait yang dihadiri oleh Pengurus Jualan dan Pemasaran FoodPanda, Nabil Ibrahim dan Pemilik The Muffin Method, Wiqa Halim.

Dalam temu bual bersama Wiqa Halim yang juga merupakan Ketua Cef The Muffin Method yang terletak di Pica-Pica Takeaway Heaven, beliau berkata, membuka perniagaan yang menjual roti-roti mudah seperti mufin, roti pisang, kek pisang, wafel dan pankek sesuai dengan konsep bawa pulang Pica-Pica.

“Saya telah membakar (roti) sejak saya berada di Tahun 9 dan ketika itu saya hanya belajar dari Internet. Selepas ‘A’ level, saya mengikuti kursus diploma setahun setengah dalam bidang pastri dan roti di At-Sunrice GlobalChef Academy,” jelasnya.

Kemudian, beliau mendapat pengalaman bekerja di TWG Tea and Sunday Folks Café semasa belajar di Singapura dan seterusnya menjalani latihan di RBC selama dua bulan sebelum memulakan perniagaan tidak lama kemudian.

Wiqa Halim dan Nabil Ibrahim mempamerkan kontrak yang telah ditandatangani.
Wiqa Halim dan Nabil Ibrahim mempamerkan kontrak yang telah ditandatangani.

Beliau berkata, The Muffin Method berbangga dengan penggunaan bahan-bahan segar premium seperti beri biru dan jenama-jenama berkualiti terbaik.

“Roti, mufin, skon dan pastri kami juga bebas daripada bahan pengawet dan bahan tambahan,” ujarnya lagi.

Majlis penandatanganan berkenaan turut menyaksikan pengumuman pemenang-pemenang Pertandingan Happy Panda anjuran FoodPanda.

Dalam pertandingan tersebut, yang telah bermula dari 15 November 2016 hingga 31 Disember 2016, pelanggan perlu menggunakan kod baucar ‘HAPPYPANDA’ dalam pembelian mereka.

Tempat pertama telah dimenangi oleh Hidayah Idris yang membawa pulang jam berjenama Polar M200 tajaan Polar Brunei diikuti oleh Fatimah di tempat kedua dan Tin Ting di tempat ketiga.