The Reds sekadar terikat seri

The Reds sekadar terikat seri

LONDON, 18 Okt – Tugasan pertama Jurgen Klopp selaku pengurus Liverpool tidak mencapai 100 peratus seperti yang diharapkan apabila skuad The Reds sekadar terikat seri 0-0 kepada Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana England semalam.

Bagaimanapun, keputusan Klopp menurunkan Divock Origi untuk membuat penampilan pertama bersama Liverpool ternyata mencipta harapan apabila penyerang berusia 20 tahun itu nyaris menggegarkan jaring gawang Spurs pada minit awal perlawanan di White Hart Lane.

Selain itu, penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet turut mempamerkan peningkatan meskipun baharu seminggu dilatih Klopp apabila berjaya menyelamatkan tiga percubaan berbahaya yang dilakukan Spurs.

Keseluruhannya, skuad The Reds berjaya mempamerkan peningkatan dalam merencanakan aksi serangan meskipun tidak menjaringkan sebarang gol seperti yang diharapkan selepas Klopp mengambil alih tugas Brendan Rodgers yang dipecat minggu lalu.

Divock Origi (atas kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Hotspur, Jan Vertonghen pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane di utara London pada 17 Oktober 2015. - AFP
Divock Origi (atas kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Hotspur, Jan Vertonghen pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di White Hart Lane di utara London pada 17 Oktober 2015. – AFP

Keputusan terikat tanpa jaringan pada pertemuan malam tadi juga menyaksikan Liverpool sekali lagi mengulangi catatan seri seperti minggu lalu, manakala Spurs pula mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini.

Dalam pada itu, Klopp dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Juventus, Claudio Marchisio bagi memperkuatkan skuad yang dikendalikan sejak minggu lalu.

Klopp dilaporkan ingin mendapatkan Marchisio menerusi nilai bidaan £23.5 juta yang akan dibuat pada jendela perpindahan yang dibuka Januari depan. Bagaimanapun, Juventus lebih berminat untuk mengekalkan Marchisio sekiranya Paul Pogba ingin meneruskan hasrat meninggalkan skuad The Old Lady selepas tamat musim ini.

Selain Liverpool, khidmat Marchisio turut diintai Arsenal dan Manchester United sejak beberapa musim lalu. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA