The Uncertain juara Perlumbaan Hijau

The Uncertain juara Perlumbaan Hijau

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Pasukan The Uncertain, dengan mengutip 53 mata, berjaya menewaskan 33 pasukan lain untuk muncul juara dalam Perlumbaan Hijau ke-2 dan menerima hadiah mereka dalam majlis yang berlangsung di Koridor Bio-Inovasi, Tungku, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah serta cenderahati ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Dalam perlumbaan itu, sebanyak 34 pasukan beraksi dan menempuh pelbagai halangan yang membawa pelbagai tema alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran para peserta dan orang ramai mengenai isu penjimatan air, perubahan iklim dan biodiversiti.

Selaku juara, pasukan The Uncertain membawa pulang hadiah berupa kamera digital Canon Ixus 310 tajaan Interhouse, baucar kursus penyelaman dari Oceanic Quest dan pas seminggu ke Fitness Zone.

Tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Farmers yang mengutip 46 mata di mana mereka membawa pulang hadiah mesin cetak yang ditaja oleh Interhouse, penginapan dua hari semalam di Kampung Eco Sumbiling, Temburong dan pas seminggu ke Fitness Zone.

Awang Wardi bergambar-ramai dengan para pemenang perlumbaan itu.
Awang Wardi bergambar-ramai dengan para pemenang perlumbaan itu.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Pelan ‘C’ yang mengutip 45 mata dan membawa pulang hadiah berupa 1TB external hard disk tajaan Netcom, penginapan dua hari semalam di Hotel Starlodge dan pas seminggu ke Fitness Zone.

Perlumbaan yang bermatlamat untuk mempromosikan kesedaran alam sekitar melalui kegiatan menyeronokkan dalam kalangan para peserta itu disokong oleh pelbagai agensi termasuk BruCert, Riza Group, Aewon dan Syarikat Malar Setia.

Dalam perlumbaan itu, para peserta bukan sahaja perlu melalui pelbagai kegiatan untuk mengumpul mata tetapi mereka juga diberikan mata dengan berkongsi kereta ke tempat perlumbaan, mempromosikan tindakan dan mesej alam sekitar melalui media sosial yang disokong oleh Progresif Cellular Sdn Bhd.

Perlumbaan yang diadakan di Koridor Bio Inovasi itu, memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat flora serta fauna yang terdapat di taman itu serta untuk menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat dan mempromosikan pelancongan dalam negara.

ARTIKEL YANG SAMA