The Yogurt & Chocolate House kini bertapak di M’sia

The Yogurt & Chocolate House kini bertapak di M’sia

PETALING JAYA, 14 Dis (Bernama) – The Yogurt & Chocolate House (TYACH) yang juga pembuat coklat dan yogurt terkemuka Britian, kini memasuki pasaran Malaysia dengan menawarkan pelbagai produk lazat, termasuk kopi istimewa.

Cawangan pertama kafe TYACH yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu bakal disusuli dengan pembukaan lima lagi cawangan dalam masa terdekat, sepertimana yang disasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Kauchik Gor berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan para pemegang francais yang berpotensi untuk membuka lebih banyak cawangan syarikat itu di negara ini.

“Kami juga berhasrat untuk membuka satu cawangan di Kuala Lumpur,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, hari ini.

Selain United Kingdom, TYACH turut mempunyai kafe di Dubai.

“Bagi menggalakkan lagi amalan gaya hidup sihat, kafe kami turut menawarkan aiskrim yogurt probiotik beku yang 96 peratus bebas lemak dan ditawarkan dalam 42 perisa berbeza,” katanya.

TYACH turut berkongsi khasiat pemakanan aiskrim yogurt probiotik berkenaan dengan pelanggan bagi menggalakkan mereka membuat pilihan tepat berbanding jenis yang tidak sihat dan kaya lemak.

“Menerusi produk yang tiada pemanis mahupun pewarna tiruan dan berkalori rendah, kami di The Yogurt & Chocolate House mahu memastikan pelanggan mampu menikmati produk ini tanpa sebarang rasa bersalah kerana kandungannya yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perdagangan dan Pelaburan di Kedutaan Britain di Malaysia, Tony Collingridge, yang merasmikan pembukaan kafe itu, berkata United Kingdom adalah peruncit luar negara terbesar yang beroperasi di Malaysia dengan anggaran 80 jenama British dan 300 kedai di seluruh negara.

Beliau turut menekankan kepentingan bagi pemilik perniagaan francais untuk mengekalkan hubungan baik dengan pemilik jenama.

ARTIKEL YANG SAMA