#theAdenanWay dicadang sebagai model bentuk belia berwibawa

#theAdenanWay dicadang sebagai model bentuk belia berwibawa

SANTUBONG, 15 Feb – Gaya kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang mendapat pujian pelbagai pihak sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak dua tahun lalu, dicadang dijadikan model dan panduan dalam pembentukan golongan belia berwibawa.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ahli Hassan berkata kepimpinan Adenan atau ‘#theAdenanWay’ harus dijadikan panduan ke arah kepimpinan yang prihatin, berani, berterus-terang, bermaruah, berintegriti dan berwibawa.

“Saya bukanlah menyarankan agar belia kita menjadi macam Tok Denan (Adenan) tetapi saya percaya nilai serta cara kepimpinan beliau yang berterus terang, berani tanpa takut dan pilih kasih, berfikiran terbuka serta bersahaja, harus menjadi antara model untuk menjadi pemimpin masa depan yang disegani,” katanya.

Awang Tengah yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian semasa menjadi anggota penal pada Majlis Forum Pemuda – Pemimpin Masa Depan anjuran Pemuda PBB di Century Santubong Beach Resort, kira-kira 40 kilometer dari Kuching, malam tadi.

Menurut beliau, kepimpinan #theAdenanWay adalah fenomena kepimpinan yang jarang dijumpai dan golongan belia mesti mengambil iktibar, jika ingin menjadi pemimpin masa depan negara yang hebat dan disegani.

Awang tengah turut mencadangkan agar diwujudkan kerusi akademik, yang digelar ‘#theAdenanWay leadership’ di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) atau di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak untuk mengkaji pendekatan #theAdenanWay’ sebagai gaya kepimpinan yang berkesan untuk generasi akan datang.

“Kesungguhan Tok Denan menambah baik sesuatu yang dianggapnya tidak sesuai atau salah, amat mengagumkan,” kata Awang Tengah sambil menambah dalam tempoh dua tahun sebagai ketua menteri, kepimpinan Adenan sudah begitu menonjol.

Menurut beliau, golongan belia harus menjadikan #theAdenanWay sebagai inspirasi, pendorong dan pembakar semangat atas kualiti kepimpinannya. – Bernama