Theta Edge bangunkan aplikasi haji mudah alih

Theta Edge bangunkan aplikasi haji mudah alih

SHAH ALAM, 14 April (Bernama) – Umat Islam yang berhasrat mengunjungi Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi menunaikan haji akan berpeluang mengalami lawatan maya ke kota suci itu dengan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh Theta Edge Bhd (Theta Edge), anak syarikat Lembaga Tabung Haji.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge Group, Shukor Karim berkata Theta Mobile Sdn Bhd (Theta Mobile) kini sedang membangunkan aplikasi mudah alih berkenaan bagi membolehkan umat Islam melawat tempat-tempat penting dalam Islam di dalam kota suci Makkah dan Madinah melalui lawatan maya 3D.

“Aplikasi ini akan membolehkan orang Islam yang ingin menunaikan haji dapat membiasakan diri dan meneroka kota suci itu secara maya sebelum ke tempat sebenar.

“Aplikasi itu, yang akan menjadi sebahagian daripada jenama sendiri syarikat, ‘MukminWay’, dijangka dibangunkan menjelang musim haji tahun depan (2017),” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran tiga produk aplikasi mudah alih Theta Edge – MukminWay, MukminFon dan SalamMukmin – dekat sini hari ini.

Shukor berkata syarikat memerlukan masa untuk menyiapkan aplikasi mudah alih berkenaan sementara menunggu siapnya projek pembesaran Masjidil Haram di Mekah.

Beliau berkata MukminWay mendidik pengguna mengenai cara gaya hidup seorang Muslim selain sebagai panduan kepada bakal jemaah yang ingin menunaikan Haji. “Aplikasi itu akan melengkapkan modul latihan yang dijalankan oleh Tabung Haji di pelbagai lokasi di seluruh negara,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA