Thiago Silva ...

Thiago Silva pacu kemaraan PSG

PARIS, 12 Jan – Kapten Thiago Silva telah menunjukkan Edinson Cavani, yang membuang banyak peluang keemasan, bagaimana untuk menyudahkan gol apabila pertahanan itu menanduk masuk dua gol bagi membawa Paris Saint-Germain (PSG) ke separuh akhir Piala Liga Perancis dengan kemenangan 2-0 ke atas Metz awal pagi tadi.

Juga termasuk dalam empat pasukan terakhir adalah Nancy, Monaco dan Bordeaux.

Pasukan tuan rumah PSG telah mengasak Metz sejak awal perlawanan, dan PSG sepatutnya sudah berada 2-0 di depan selepas suku jam perlawanan.

Keduanya disia-siakan oleh penyerang Cavani, dengan tandukan tersasar dari jarak dekat dan kemudian beberapa minit kemudian menyaksikan rembatannya diselamatkan oleh penjaga gol Metz, David Oberhauser.

Angel Di Maria, yang masih belum sepenuhnya memenangi hati penyokong di Parc des Princes sejak perpindahan mahalnya dari Manchester United, juga mendapat kritikan apabila melakukan hantaran gaya ‘panenka’ kepada Cavani, di mana Di Maria sepatutnya hanya perlu membuat hantaran lintang yang mudah.

Para pemain PSG meraikan jaringan pasukan mereka dalam aksi suku akhir Piala Liga Perancis antara PSG dan Metz di Parc des Princes. – AFP
Para pemain PSG meraikan jaringan pasukan mereka dalam aksi suku akhir Piala Liga Perancis antara PSG dan Metz di Parc des Princes. – AFP

Tekanan akhirnya berbaloi apabila hampir memasuki setengah jam perlawanan, pertahanan Brazil Silva, melompat tinggi bagi menanduk masuk ke gawang hasil sepakan sudut Di Maria.

Metz gagal membuat serangan dengan baik dan hanya mempunyai satu percubaan ke gawang, satu sepakan percuma lemah yang mudah diselamatkan dalam separuh masa pertama.

Separuh masa kedua sama seperti separuh masa pertama. Cavani sekali lagi terlepas peluang mudah bagi menanduk masuk gol. Di Maria pula semakin menyesuaikan diri dan telah menyaksikan percubaannya diselamatkan di atas garisan gol.

Di Maria sekali lagi terlibat dalam siri serangan dan kali ini sepakan percumanya di minit ke-72 telah disudahi dengan tandukan Silva bagi memastikan kemenangan 2-0 bagi PSG. – AFP