THPA tangani syarikat penyebab jerebu di S’pura

THPA tangani syarikat penyebab jerebu di S’pura

SINGAPURA, 17 April (Bernama) – Syarikat-syarikat tempatan mahu pun yang berpangkalan di luar negara berdepan prospek perniagaan yang ‘kabur’ jika terbukti menjadi punca pencemaran masalah jerebu di Singapura.

Ia sejajar pelaksanaan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 (THPA) Singapura yang dikuatkuasakan pada September 2014. Sehubungan itu, kalangan syarikat diingatkan agar melaksanakan perniagaan secara beretika bagi mengelak daripada melakukan sebarang kesalahan seperti kebakaran yang mencetuskan masalah jerebu.

Di bawah THPA, pencemaran jerebu dianggap berlaku sekiranya Indeks Standard Pencemar’ kekal pada bacaan 101 atau lebih bagi tempoh 24 jam berturut-turut atau lebih lama. Ketika menegaskannya, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Masagos Zulkifli menyifatkan THPA menjadi instrumen berkesan untuk Singapura memastikan syarikat-syarikat peka serta mengambil tindakan sewajarnya.

Jelasnya, paparan tompokan panas berwarna merah pada imej kawasan jerebu itu seharusnya dianggap satu mesej ‘mudah tapi tegas’ untuk syarikat terbabit.

“Mana-mana syarikat yang mengamalkan kaedah pengeluaran bukan lestari yang boleh mencemari Singapura dengan masalah jerebu, seharusnya menyedari bahawa tindak tanduk mereka itu tidak akan membawa kepada keuntungan, sebaliknya akan berdepan tindakan sama ada awal atau kemudian,” katanya.

Malah, baru-baru ini, Agensi Alam Sekitar Singapura mengenakan tindakan notis di bawah Seksyen 10 dan 11 THPA ke atas seorang pengarah asing ketika berkhidmat di republik itu. Mengikut undang-undang, Singapura akan mengambil langkah sewajarnya bagi menguatkuasakan THPA biarpun menyedari hadnya di luar sempadan negara itu.