Three Lions tetap gah

Three Lions tetap gah

LONDON, 11 Okt – England yang layak ke pentas Euro 2016 bulan lalu, menang selesa 2-0 ke atas Estonia di Wembley semalam dalam misi melengkapkan kempen kelayakan dengan rekod 100 peratus kemenangan buat kali pertama.

Jaringan Theo Walcott selepas minit ke-45 dan Raheem Sterling m-85 memberikan England kemenangan kesembilan berturut-turut dalam kempen kelayakan.

England mendahului Kumpulan E dengan 27 mata hasil sembilan perlawanan.

Pengurus England, Roy Hodgson berkata: “Perlawanan itu mencabar seperti yang kami jangkakan kerana berdepan pasukan yang tersusun dan mempamerkan aksi pintar.

“Kami banyak melakukan serangan, menguasai bola dan meraih beberapa peluang tetapi gagal menyudahkannya dengan baik. Namun saya fikir kemenangan 2-0 itu berbaloi. Dalam perlawanan seperti itu jika tidak berhati-hati dan hilang tumpuan, anda akan tewas.

“Ada orang berkata kemenangan malam ini akan memastikan kami menjadi pasukan pilihan untuk kejohanan di Perancis dan ia juga sangat penting.”

England bagaimanapun tidak diancam Estonia yang hanya menjaringkan empat gol dalam sembilan perlawanan sepanjang kempen kelayakan itu.

Antara yang menjadi tumpuan sebelum sepak mula adalah apabila Bobby Charlton menyampaikan anugerah kasut emas kepada penyerang Manchester United Wayne Rooney selepas memecahkan rekod beliau selama 45 tahun selepas menjaringkan gol ke-50 buat England bulan lalu.

Rooney tidak dapat beraksi berikutan kecederaan namun ketiadaannya tidak dirasai England.

Ross Barkley mencipta gol pembukaan Walcott sebelum tamat separuh masa pertama manakala Sterling menggandakan jaringan lima minit sebelum tamat perlawanan dengan menyambut hantaran pemain gantian Jamie Vardy, selepas dua minit diturunkan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA