Tiada ancaman tsunami

Tiada ancaman tsunami

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Berikutan gempa bumi yang berlaku dekat kawasan persisiran Tengah Chile dengan kekuatan 8.3 pada 6:54 pagi (waktu Brunei), hari ini, Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) telah meramalkan ombak di bawah paras 0.3 meter akan menjejaskan kawasan persisiran Negara Brunei Darussalam.

Bagaimanapun, Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji dalam satu kenyataan di sini, hari ini, menyatakan bahawa ombak di bawah paras 0.3 meter yang diramalkan tersebut tidak akan memberi ancaman kepada negara kerana ia dalam lingkungan kategori keadaan laut berombak di paras sedikit.

Menurutnya lagi, pihak mereka akan terus memantau keadaan berkaitan dengan tsunami berkenaan dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran jika diperlukan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat mengenai amaran ancaman Tsunami yang tidak sahih melalui media sosial yang boleh menyebabkan keadaan resah dan panik dalam kalangan orang ramai.

Orang ramai boleh menghubungi pegawai peramal kaji cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan, Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei melalui talian cuaca 114 dan 2345567 atau melayari Iaman sesawang www.met.gov.bn dan Iaman Facebook di www.facebook.com/bruneiweather.

ARTIKEL YANG SAMA