Tiada Balotelli tiada masalah

Tiada Balotelli tiada masalah

PARIS, 21 Nov – Nice kelihatan tidak bermasalah meski ketiadaan penyerang kontroversinya, Mario Balotelli yang menjalani penggantungan selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Saint-Etienne, awal pagi tadi sekali gus kembali merampas kedudukan teratas Ligue 1 Perancis.

Valentin Eysseric menjaringkan gol tunggal perlawanan pada babak kedua aksi di Stade Geoffroy-Guichard itu sekali gus Nice bangkit daripada kekalahan 1-0 kepada Caen pada perlawanan sebelum rehat antarabangsa lalu.

Ia adalah tindak balas yang baik daripada skuad bimbingan Lucien Favre itu menjelang jadual perlawanan padat dan sukar menentang pencabar utama seperti Monaco dan Paris Saint Germain (PSG) yang turut mencatat kemenangan pada aksi lebih awal.

“Secara keseluruhan, kami layak untuk menang,” kata Favre sekalipun mengakui pasukannya tidak lagi berada di prestasi terbaik seperti awal musim lalu ketika mereka mencipta kejutan dalam bola sepak Perancis.

“Kami bergelut. Kami kehilangan bola di kawasan bahaya dan Saint-Etienne boleh menjaringkan gol, jadi ia boleh menjadi sesuatu yang amat merugikan.

Nice mampu memenangi perlawanan tersebut meskipun tanpa penyerang kontroversi mereka Mario Balotelli. – AFP
Nice mampu memenangi perlawanan tersebut meskipun tanpa penyerang kontroversi mereka Mario Balotelli. – AFP

“Kami juga boleh mendahului 2-0 namun jangan lupa (Nolan) Roux juga terlepas untuk menjaringkan gol menerusi tandukan. Ia mampu menjadi sesuatu yang sukar untuk kami bangkit daripada ketinggalan menentang pasukan yang amat tersusun.”

Penyerang Itali, Balotelli sudah menjaringkan gol dalam enam penampilan liga sejak berpindah ke Perancis namun disebabkan penggantungan satu perlawanan, seorang lagi penyerang Nice, Alassane Plea kini mendahului carta gol dengan mengumpul tujuh jaringan.

Dia turut memperoleh beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi percubaan terbaik yang terhasil menerusi gerakan Ricardo Pereira dan Jean Michael Seri berjaya dihalang penjaga gol tuan rumah, Stephane Ruffier.

Gol tunggal perlawanan menerusi Eysseric, yang menyaksikan tahun lalu dia menghabiskan semusim penuh selaku pemain pinjaman di Saint-Etienne pada minit ke-63 perlawanan menerusi sepakan separuh voli yang menarik.

Kemenangan menyaksikan Nice kembali memperoleh kelebihan tiga mata di depan Monaco yang menang 3-0 ke atas Lorient sebelum PSG menewaskan Nantes 2-0, semalam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA