Tiada Balotelli tiada masalah

Tiada Balotelli tiada masalah

PARIS, 26 Sept – Nice yang beraksi tanpa khidmat penyerang kontroversi, Mario Balotelli tidak bermasalah untuk mencatat kemenangan selepas membenam Nancy 1-0 sekali gus menghuni kembali tangga teratas Ligue 1 Perancis.

Balotelli yang sudah meledak empat gol pada dua penampilannya di saingan bola sepak Perancis itu terpaksa disisihkan pada aksi di Stade Marcel-Picot berikutan masalah pangkal paha.

Ia sekali gus memberi peluang buat seorang lagi penyerang, Alassane Plea untuk menyinar dan menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Kemenangan menyaksikan Nice mengekalkan permulaan tanpa kalah di bawah jurulatih baru, Lucien Favre dan membenarkan mereka mengungguli takhta liga selepas Monaco mengatasi mereka seketika pada Sabtu.

Monaco yang tewas besar 4-0 kepada Nice pada pertembungan tetangga minggu lalu bangkit selepas menewaskan Angers 2-1 juga tanpa kelibat penyerang ternama, Radamel Falcao.

Meskipun tidak memainkan Mario Balotelli, Nice kelihatan tidak bermasalah apabila berjaya menewaskan Nancy 1-0. – AFP
Meskipun tidak memainkan Mario Balotelli, Nice kelihatan tidak bermasalah apabila berjaya menewaskan Nancy 1-0. – AFP

Nice kini mengumpul 17 mata, satu mata mengatasi Monaco selepas mencatat lima kemenangan dan dua seri dalam tujuh perlawanan liga setakat ini.

Toulouse yang mengejutkan penyandang juara, Paris Saint-Germain 2-0 pada Jumaat lalu di tangga ketiga ketinggalan tiga mata.

“Kami bermain dengan baik pada babak kedua, lebih baik daripada babak pertama apabila kami menghimpit mereka seperti buah lemon,” Favre.

“Untuk mendapat 17 mata selepas tujuh perlawanan adalah menakjubkan. Kami semua gembira.” – AFP