Tiada bantuan ketenteraan dari Indonesia – Retno

Tiada bantuan ketenteraan dari Indonesia – Retno

pg12_151217_a

JAKARTA, 16 Dis (dpa) – Indonesia tidak akan memberi bantuan ketenteraan kepada kumpulan gabungan anti-pengganasan 34 anggota yang ditubuhkan oleh Arab Saudi, menurut laporan hari ini.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi (gambar) berkata rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Adel al-Jubeir telah bercakap dengannya beberapa kali tentang inisiatif itu, lapor akhbar harian Kompas tetapi Riyadh belum menerangkan bagaimana ia akan berfungsi.

“Mereka berkata kami menyokongnya. Apakah sokongan itu?” Retno dipetik sebagai berkata oleh Kompas.

Kumpulan gabungan yang diketuai Arab Saudi itu sebahagian besarnya terdiri dari negara-negara majoriti Islam tetapi mengecualikan saingan serantaunya, Iran dan beberapa negara yang sedang berdepan dengan keganasan.

Agensi berita rasmi Saudi Press Agency melaporkan lewat Isnin lalu bahawa Indonesia telah meluluskan kumpulan gabungan itu tetapi bukan menjadi anggota gabungan tersebut.

“Indonesia tidak akan terlibat dalam gabungan ketenteraan dengan negara-negara lain,” kata Retno.

Kumpulan campuran Arab Saudi itu termasuklah Arab, negara-negara Asia dan Afrika, Mesir,Turki dan Pakistan adalah sebahagian kumpulan itu,menurut kenyataan lewat Isnin lalu yang disiarkan oleh agensi itu.

Syria, Iraq dan Afghanistan – yang disenaraikan oleh Arab Saudi sebagai dicengkam keganasan – bukan sebahagian kumpulan tersebut.

Matlamatnya adalah untuk “memerangi setiap pertubuhan pengganas bukan saja kumpulan IS,” kata Putera Makhota yang juga Menteri Pertahanan, Mohammed bin Salman.

Kerajaan di Damsyik dan Baghdad secara meluas dilihat sebagai sekutu rapat dengan Iran yang terlibat persengketaan serantau dengan Arab Saudi.

Kedua-dua negara itu terlibat dengan sebilangan perang proksi antara satu sama lain, termasuklah di Syria dan Yaman.