Tiada bom ditemui di Bangunan Bursa M’sia

Tiada bom ditemui di Bangunan Bursa M’sia

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Bangunan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) di Exchange Square di sini dikosongkan tengah hari tadi berikutan ancaman bom namun polis mengesahkan tiada objek mencurigakan ditemui.

Urus niaga berjalan seperti biasa dan sesi tengah hari dimulakan pada 2.30 petang.

Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia berkata pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai ancaman itu dan sebagai langkah berjaga-jaga, semua penghuni termasuk staf di bangunan 15 tingkat itu diminta mengosongkan bangunan dan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) diaktifkan.

Bernama mendapati ramai orang termasuk staf di bangunan itu berada di luar bangunan dan polis mengawal ketat sehingga 50 meter dari bangunan berkenaan.

Menurut Datuk N Sivakumar, pemegang amanah kuil Kortumalai Sri Ganesar yang terletak hampir 300 meter dari bangunan Bursa Malaysia, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis untuk mengosongkan bangunan kuil pada 1.45 tengah hari.

“Arahan mengosongkan bangunan dibuat berikutan ancaman bom di bangunan Bursa berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi berkenaan.

Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA