Tiada bom ditemui

Tiada bom ditemui

COLOMBIA, 1 Nov (AFP) – FBI berkata ia tidak menemui bukti letupan di atas bot presiden Maldives berpunca dari bom, menurut laporan, yang membangkitkan persoalan tentang penangkapan naib presiden berhubung kejadian itu.

Presiden Abdulla Yameen tidak tercedera dalam letupan di atas bot laju beliau yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai cubaan membunuh. Letupan pada 28 September itu mengakibatkan isteri dan dua orang lagi mengalami cedera ringan.

Pihak polis telah memberkas naib presiden Ahmed Adeeb hampir sebulan kemudian kerana menderhaka ketika beliau pulang ke kepulauan Lautan Hindi dari lawatan rasmi di luar negara.

Penangkapan itu menyusuli beberapa pemecatan para pegawai kerajaan termasuklah menteri pertahanan Yameen, yang mencetuskan kebimbangan ketidakstabilan politik dan seterusnya penjejasan imej Maldives sebagai destinasi pelancong kelas tinggi.

Selepas mengkaji bukti, FBI mendapati serpihan dari letupan, yang mulanya dianggap kemungkinan sisa-sisa bom, sebenarnya adalah bahagian-bahagian bot, Jurnal Wall Street melaporkan semalam.

FBI mengeluarkan keterangan muktamad hari ini bahawa tiada bom dilaporkan di dalam bot laju Presiden Abdulla. – Reuters
FBI mengeluarkan keterangan muktamad hari ini bahawa tiada bom dilaporkan di dalam bot laju Presiden Abdulla. – Reuters

“Tidak ada bukti kukuh untuk menganggap letupan di atas bom itu berpunca dari IED,” jurucakap Biro Siasatan Persekutuan memberitahu jurnal itu.

Agensi AS, yang telah diminta membantu penyiasatan, telah melakukan pemeriksaan tempat letupan dan ujian mengesan kimia, menurutnya.

Maldives berdepan kritikan keras antarabangsa berhubung pemenjaraan pada bulan Mac pemimpin pertama yang dilantik secara demokrasi Mohamed Nasheed, selepas perbicaraan tergesa-gesa yang menurut PBB adalah sesuatu yang teruk.

Yameen, yang mula memegang pucuk pimpinan pada November 2013 ekoran pilihan raya berkontroversi, berdepan celaan antarabangsa berhubung tindakannya ke atas penentang politik, yang termasuklah para penyokong pemimpin parti pembangkang, Nasheed.