Tiada bot, kapal China di Beting Patinggi Ali

Tiada bot, kapal China di Beting Patinggi Ali

KOTA TINGGI, 28 Mac (Bernama) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengesahkan tiada bot dan kapal dari China menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali di Laut Cina Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu disahkan Panglima TLDM Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

“TLDM telah pantau perkara ini secara dekat serta terkawal dan saya sebagai orang bertanggungjawab, lega apabila beliau (Ahmad Kamarulzaman) sahkan perairan negara selamat,” katanya selepas menyaksikan Acara Penembakan Peluru Berpandu STARStreak di Lapang Sasar Bumi Ke Udara, Tanjung Logok di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan keselamatan dekat Beting Patinggi Ali selepas terdapat laporan mengenai kehadiran bot China di kawasan itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Roslan Saad dan Ahmad Kamarulzaman.

Peluru berpandu StarStreak 1,000 meter/sesaat bersamaan tiga kali ganda kelajuan bunyi dilepaskan buat julung kalinya di Malaysia disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada latihan tembakan misil ‘Starstreak’ berteknologi tinggi di lapang sasar darat ke udara (LSDU) Tanjung Logok. – Bernama
Peluru berpandu StarStreak 1,000 meter/sesaat bersamaan tiga kali ganda kelajuan bunyi dilepaskan buat julung kalinya di Malaysia disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada latihan tembakan misil ‘Starstreak’ berteknologi tinggi di lapang sasar darat ke udara (LSDU) Tanjung Logok. – Bernama

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pihaknya tidak akan berkompromi jika terdapat pihak luar yang cuba mewujudkan aktiviti ketenteraan di perairan negara.

“Jika benar ada cubaan untuk mewujudkan aktiviti ketenteraan, kita akan lihat secara serius dan kita sentiasa bekerjasama rapat dengan negara jiran,” katanya.

Pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata kira-kira 100 bot dan kapal dari China dikesan menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali.

Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan diambil jika kapal berkenaan dikesan memasuki zon ekonomi eksklusif negara, kata Shahidan.

Mengulas mengenai STARStreak, Hishammuddin berkata aset berkenaan dibeli bagi menggantikan sistem peluru berpandu STARBust yang telah usang dan ditamatkan pengeluarannya.

Peluru berpandu STARStreak merupakan aset pertahanan udara aras rendah (VSHORAD) baharu milik Angkatan Tentera Malaysia.

STARStreak buatan syarikat yang berpangkalan di Eropah, Thales itu memiliki kelajuan 1,000 meter sesaat dan mempunyai jarak keberkesanan sehingga tujuh kilometer.

Sistem peluru berpandu itu mempunyai beberapa sistem antaranya sistem persenjataan mobil RAPIDRanger dan RAPIDRover, Next Generation Lightweight Multiple Launcher dan sistem komunikasi yang berkaitan.

ARTIKEL YANG SAMA