Tiada halangan pergerakan air sungai – UMS

Tiada halangan pergerakan air sungai – UMS

KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) – Tiada sebarang halangan berlaku kepada pergerakan air sungai walaupun berlaku tanah runtuh yang berleluasa di kawasan Gunung Kinabalu, demikian menurut Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul.

Ketika membuat pemerhatian udara dengan menggunakan helikopter di sekeliling gunung tersebut bagi mendokumentaskani kejadian tanah runtuh dan mengenal pasti kesannya ke atas sungai, beliau berkata beliau turut mendapati tiada sebarang empangan sementara yang terbentuk.

“Begitu juga, tidak ada tasik besar terbentuk di kawasan ulu Sungai Mesilou seperti disebarkan di media sosial WhatsApp.

Ini adalah khabar baik untuk penduduk sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun Felix yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS berkata keadaan itu berkemungkinan boleh berubah sekiranya berlaku tanah runtuh baharu, akibat gegaran berterusan kesan daripada gempa susulan.

Justeru beliau mengingatkan penduduk setempat khususnya yang tinggal di sekitar kawasan gunung agar sentiasa berwaspada, selain pemantauan berterusan pelu dilakukan pihak berkuasa.

Mengenai pemerhatian udara yang dibuat pagi tadi itu, Felix berkata sebahagian besar tebing gunung telah mengalami runtuhan teruk, kecuali di bahagian timur ke arah Poring.