Tiada jalan mudah – Dunga

Tiada jalan mudah – Dunga

RIO DE JANEIRO, 8 Julai (AFP) – Tepat setahun selepas dimalukan Jerman 7-1 pada Piala Dunia, Brazil yang pernah menakluki semua pasukan bola sepak nampak terus tenggelam, dan Dunga berkata, tiada cara pantas untuk pulih.

Hari ini (Rabu) adalah ulang tahun pertama kejutan Brazil tersingkir daripada kejohanan di mana ia menjadi tuan rumah dan berada di bawah tekanan yang besar untuk menang – kalah kerana trauma di mana negara 200 juta penduduk menjadikan bola sepak sebagai jiwa kebangsaan.

Daripada peringkat tertinggi pentadbiran bola sepak Brazil sehingga ke padang pantai popular daerah Copacabana Rio, terdapat persetujuan bahawa sesuatu yang serius perlu dilakukan.

“Kita semua perlu bertambah baik,” kata Dunga dalam komen di laman berita sukan Globo Esporte.

“Kita perlu rendah hati untuk mengetahui bahawa kita perlu bekerja untuk kembali menguasai bola sepak dunia, tetapi kita juga perlu mengakui bahawa ia bukan sesuatu yang mudah.”

Dunga (kanan) mengendalikan sesi latihan pasukan Brazil semasa Copa America 23 Jun lalu. – Reuters
Dunga (kanan) mengendalikan sesi latihan pasukan Brazil semasa Copa America 23 Jun lalu. – Reuters

Dunga berkata demikian lewat Isnin selepas menemui beberapa bekas jurulatih pasukan kebangsaan untuk bedah siasat ke atas kemelut terkini Brazil selepas tersingkir daripada Copa America bulan lalu di tangan pasukan kerdil Paraguay.

Tetapi bencana sebenar Brazil yang gila bola sepak adalah ketika dibelasah luar biasa oleh Jerman pada separuh akhir Piala Dunia 8 Julai 2014.

Jerman muncul juara kejohanan yang dimenangi lima kali oleh Brazil sebelum ini.

Dunga meletakkan kekalahan itu setanding dengan kekalahan final Piala Dunia 1950 Brazil kepada Uruguay di Stadium Maracana dalam satu acara kemuncak yang menjadi trauma dengan namanya sendiri – “Mara-canazo”.

Musibah Jerman adalah satu tarikh yang akan meninggalkan kesan sama seperti 1950 dan seperti Brazil yang pernah lima kali menjadi juara dunia,” kata Dunga.

Setahun kemudian, Dunga memberi amaran tentang masa depan pemain Brazil berbaju kuning.

“Kita perlu melihat sisi positif. Kita tidak boleh sentiasa menang,” katanya.

“Kita perlu cuba untuk pergi sedaya-upaya ke hadapan dalam segala hal.”

Ternyata dalam masa setahun Brazil belum pulih baik dari segi rentak permainan mahupun semangat pasukan.