Tiada jaminan...

Tiada jaminan Aguero kekal – Pep

MANCHESTER, United Kingdom, 13 Feb – Pep Guardiola enggan untuk mengetepikan kemungkinan Sergio Aguero mungkin meninggalkan Manchester City pada akhir musim ini, tetapi berkata dia mahu mengekalkan pemain penyerang itu.

Aguero, yang memiliki kontrak sehingga 2020, dihadkan untuk muncul sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan City sebelumnya, kerana kecemerlangan yang dipamerkan oleh Gabriel Jesus yang baru ditandatangani.

Sementara itu Guardiola berkata dia kagum dengan Aguero, dia tidak pasti jika dia boleh memberikan pemain antarabangsa Argentina itu perlawanan yang mencukupi untuk menghalangnya dari meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.

“Pada akhir musim, saya tidak tahu,” kata pengurus City. “Saya tahu bagaimana sukarnya untuk mencari penjaring gol terbanyak.

“Saya mahu dia kekal, tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Walaupun sepanjang kerjaya saya (sebagai seorang pemain dan pengurus), saya tidak tahu apa yang akan berlaku (kepada saya) pada akhir musim ini.”

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) ketika memberikan arahan kepada para pemainnya di atas padang, sambil diperhatikan oleh Sergio Aguero. - AFP
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (kanan) ketika memberikan arahan kepada para pemainnya di atas padang, sambil diperhatikan oleh Sergio Aguero. – AFP

Jesus, yang ditandatangani dari Palmeiras bagi 27 juta pound (AS$33.7 juta, 31.7 juta euro) pada Januari lalu, menjaringkan tiga kali dalam dua permulaan liganya, termasuk dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Swansea City.

Pemain penyerang Brazil itu, 19, juga dilihat lebih sesuai berbanding Aguero terhadap gaya permainan tekanan tinggi yang dimahukan Guardiola.

Ia meletakkan Aguero menghadapi prospek untuk berada di bangku simpanan sekali lagi apabila City akan berkunjung ke Bournemouth dalam Liga Perdana hari ini.

Pemain penyerang itu, 28, melalui kempen yang bercampur–baur, biarpun menjadi penjaring terbanyak City dengan 18 gol dalam semua perlawanan.

Dia terlepas tidak kurang daripada empat sepakan penalti dalam dua bulan pertama musim ini, dipaksa untuk tidak beraksi dalam tujuh perlawanan kerana penggantungan dan juga kehilangan tempat dalam barisan utama Argentina. – AFP