Tiada jangkaan gempa bumi susulan di Sabah

Tiada jangkaan gempa bumi susulan di Sabah

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) – Tiada jangkaan gempa bumi susulan di Sabah setakat ini, ekoran gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter yang melanda Kalimantan, Indonesia, awal pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata kebiasaannya ‘gempa utama’ sepertimana berlaku 2.47 pagi tadi, akan disusuli dengan gempa susulan yang lebih kecil.

“Namun, setakat ini berdasarkan maklumat terkini, kita belum merasai gegaran kedua.

“Ini mungkin disebabkan jarak kita dengan pusat gempa yang jauh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Gempa yang berlaku di 3.6 darjah utara dan 117.6 darjah timur, kira-kira 33km ke utara Tarakan dan 96km barat daya Tawau itu turut dirasai di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu, Sabah, pagi tadi.

Datuk Che Gayah Ismail. – Bernama
Datuk Che Gayah Ismail. – Bernama

Menurut laporan media, kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau terpaksa dikosongkan selepas gegaran kuat dirasai, selain ada bangunan di daerah berkenaan yang dilapor mengalami keretakan.

Che Gayah berkata gempa yang berlaku di permukaan darat itu juga tidak menimbulkan ancaman tsunami.

“Sistem yang kita guna pakai sekarang mampu mengesan gempa bumi dengan baik, jadi berdasarkan maklumat sekarang, boleh dikatakan keadaan di Sabah agak selamat daripada gempa bumi (susulan),” katanya.

Tambah beliau, sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan menerusi media.