Tiada kata putus

Tiada kata putus

GENEVA, 21 Jun (Reuters) – Rundingan damai anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva semalam berhubung gencatan senjata membabitkan pihak-pihak bertelagah di Yaman berkesudahan tanpa sebarang perjanjian ketika jet pejuang tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi terus membedil kedudukan pemberontak Houthi dan Pengawal Republikan.

Utusan khas PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed berkata, pertemuan selama lima hari itu menyaksikan pihak terlibat enggan duduk semeja, namun secara dasarnya bersetuju tentang keperluan gencatan senjata dan pengunduran tentera selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2216.

“Pihak terlibat sedia berbincang tentang gencatan senjata diikuti oleh pengunduran. Saya secara peribadi dalam tempoh beberapa hari ini yakin bahawa kami boleh mengadakan rundingan seterusnya dalam tempoh terdekat.

“Pihak pembangkang seperti yang anda tahu terlalu lantang dalam pandangan mereka mempersoalkan kehilangan banyak nyawa dan kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa berada di luar negara. Banyak perkara menyulitkan kita,’’ katanya.

Ismail berkata, beliau akan terbang ke New York esok untuk memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB bagi membol­­e­hkan usul mewujudkan satu pasukan pemerhati awam dilaksanakan untuk memantau gencatan senjata dan pengunduran tentera.

Orang ramai dan pihak polis berada di kawasan luar masjid Qubbat al-Mahdi yang telah diletupkan oleh bom kereta. - Reuters
Orang ramai dan pihak polis berada di kawasan luar masjid Qubbat al-Mahdi yang telah diletupkan oleh bom kereta. – Reuters

Menteri Luar Yaman, Reyad Yassin Abdullah dalam pada itu berkata, rundingan tersebut tidak memberi kesan besar, namun terdapat ruang untuk perbincangan meskipun tiada tarikh ditetapkan setakat ini.

“Perwakilan kumpulan Houthi seolah-olah tidak mahu satu perkembangan yang baik dalam dialog ini, namun perkara itu tidak bermakna kami gagal,’’ katanya.

Ketua perwakilan Houthi, Hamza Al-Houthi pula menyalahkan Arab Saudi kerana mengetuai tentera perikatan melakukan serangan udara di Yaman bagi menyokong Presiden, Abdrabbuh Mansour Hadi.

“Kami tidak berkata perbincangan Geneva ini gagal, namun pertemuan itu merupakan langkah pertama dan terdapat halangan yang jelas bagi memastikan persidangan ini tidak mendatangkan apa-apa hasil,’’ katanya.

ARTIKEL YANG SAMA