Tiada kawasan terputus hubungan jalan akibat gempa

Tiada kawasan terputus hubungan jalan akibat gempa

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Sabah berkata setakat ini tiada kawasan di negeri itu terputus hubungan jalan raya susulan kejadian gempa bumi di Ranau pagi ini.

Pengarahnya Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata walaupun jalan Ranau-Kundasang dilaporkan mengalami keretakan, ia masih boleh digunakan.

“Tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Tetapi ada kes orang awam yang pengsan akibat panik dan mengalami trauma,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut mengesahkan terdapat kerosakan pada beberapa bangunan di Ranau akibat gempa 5.9 pada skala Richter yang berlaku pada 7.15 pagi.

Katanya penduduk Ranau juga dilaporkan kembali melakukan rutin harian, namun pihak JPAM mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gempa susulan.

Seorang pelancong memerhati runtuhan besar yang berlaku di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi di Sabah hari ini. Seramai 137 pendaki masih terperangkap di atas Gunung Kinabalu berikutan kejadian itu. – Bernama
Seorang pelancong memerhati runtuhan besar yang berlaku di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi di Sabah hari ini. Seramai 137 pendaki masih terperangkap di atas Gunung Kinabalu berikutan kejadian itu. – Bernama

Gegaran turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Di Kota Kinabalu, JPAM mengosongkan tiga bangunan iaitu Rumah Persekutuan Kota Kinabalu, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah dan Wisma Dang Bandang sebaik gegaran dirasai.

Kebenaran masuk semula ke premis berkenaan diberikan pada pukul 10.30 pagi.

Mulliadi Al-Hamdi turut menggesa orang awam supaya tidak menyebar berita atau gambar palsu berkaitan kejadian ini.

“Situasi tidaklah seburuk yang digambarkan dalam media sosial. Perbuatan seumpama itu hanya menjadikan orang ramai panik, kalut dan hanya merumitkan keadaan,” jelas beliau.