Tiada kecederaan, maut dalam gempa bumi di Ranau

KUNDASANG, 9 Mac – Penduduk kampung di kaki Gunung Kinabalu bersyukur tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan susulan gempa bumi yang melanda Ranau malam tadi.

Malah, rata-rata mereka berpendapat gempa bumi itu tidak mungkin akan membawa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda seperti yang berlaku pada 5 Jun 2015, yang meragut 18 nyawa dan menyebabkan kerosakan pada bangunan serta infrastruktur.

Khajili Sumail, 44, dari Kampung Mesilou di sini berkata gegaran malam tadi tidak sekuat yang berlaku hampir tiga tahun lepas, namun, tindakan utama penduduk kampung ialah berkumpul di sebatang jalan dan memantau sungai di kampung itu.

“Memang kami rasa takut dan cemas, tetapi kami sudah merasa gegaran yang lebih kuat lagi pada tahun 2015. Jadi, kami telah bersedia.

“Kami memantau sungai agar tiada batu yang runtuh dari gunung ke Sungai Mesilou dan menyekat aliran sungai, bagaimanapun ada runtuhan batu dari gunung ke sungai berdasarkan bau belerang,” kata anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau pukul 9.06 malam tadi.

Pemilik sebuah inap desa di kampung itu Sanoman Masidin, 47, berkata dia bertindak menghubungi seorang daripada tetamu inap desanya D’s Homestay Mesilou dan memastikan tetamunya itu dalam keadaan selamat.

Sementara itu, satu gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter melanda Ranau, Sabah lagi pada 8:09 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, pusat gempa itu terletak di 6.1 utara dan 116.6 timur, kira-kira 16 kilometer di barat laut Ranau. – Bernama