Tiada kematian, hanya tiga mangsa cedera ringan

Tiada kematian, hanya tiga mangsa cedera ringan

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) – Tiada kematian dilaporkan kecuali tiga mangsa cedera ringan, termasuk pelancong wanita dari Turki dalam kejadian gempa bumi paling kuat direkodkan di Sabah berukuran 5.9 pada skala Richter hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan kepada Bernama tiga yang cedera itu terdiri daripada pelancong yang mendaki Gunung Kinabalu, termasuk pelancong dari Turki berusia 35 tahun.

Mereka yang cedera itu, adalah antara 35 pendaki Gunung Kinabalu, yang dibawa turun dalam kumpulan pertama selepas kejadian gempa bumi itu, katanya.

Setakat ini katanya banyak laporan yang diterima adalah mengenai kerosakan harta benda awam dan persendirian seperti keretakan jalan dan lantai bangunan, serta cermin dan tingkap yang pecah.

Gempa bumi yang berlaku pada 7.15 pagi tadi di Ranau, gegarannya turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Seorang kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Ranau hari ini. Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah menyebabkan gegaran dirasai di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. – Bernama
Seorang kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Ranau hari ini. Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah menyebabkan gegaran dirasai di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. – Bernama

Susulan kejadian itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri Sabah telah diaktifkan untuk memantau serta membantu mereka yang memerlukan termasuk yang terkandas di Gunung Kinabalu.

Tengah hari tadi, seramai 160 pendaki dilaporkan masih terkandas di gunung itu.

Dalam tindakan proaktif, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan sebuah pesawat Eurocopter EC725 diterbangkan ke kawasan Laban Rata di Gunung Kinabalu untuk membantu usaha menyelamatkan pendaki yang terkandas.

Beliau turut mengumumkan sebuah pesawat C-130 Hercules bersedia untuk menerbangkan pasukan penyelamat ke kawasan terlibat bagi membantu tugasan Bantuan Bencana (HADR), serta dua batalion tentera darat di Kota Kinabalu dan Labuan kini dalam siap siaga untuk membantu.

Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Ogu Salim Omar berkata ia telah menggerakkan 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu operasi gempa bumi. Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata setakat ini tiada kawasan di negeri itu terputus hubungan jalan raya susulan kejadian tersebut.