Tiada kencing tikus di Sg. Cina dilaporkan

Tiada kencing tikus di Sg. Cina dilaporkan

KUCHING, 19 Sept – Jabatan Kesihatan Sarawak tidak menerima sebarang laporan mengenai penyakit kencing tikus atau Leptospirosis di Sungai Cina Pusat Hidupan Liar Matang, Kuching atau di Sungai Pulau Ayer kaki Gunung Gading, di Lundu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata beliau telah menyemak dengan bilik gerakan tetapi dimaklumkan tiada sebarang laporan diterima. Katanya pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang mesej amaran menerusi aplikasi whatsapp, mengenai penyakit kencing tikus di kedua-dua lokasi berkenaan, semalam.

“Setakat yang kami maklum, Jabatan kami tidak menjalankan rutin persampelan alam sekitar dan ujian air di kawasan rekreaksi untuk mengesan leptospirosis. Kami menjalankan ujian terhadap pesakit,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Semalam satu mesej amaran yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan kedua-dua lokasi serta anak sungai berdekatan kawasan berkenaan dicemari penyakit kencing tikus. – Bernama