Tiada kes demam kuning di M’sia

Tiada kes demam kuning di M’sia

PUTRAJAYA, 22 Ogos – Tiada kes demam kuning dilaporkan di Malaysia sehingga kini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Namun, katanya, Malaysia mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit tersebut disebabkan terdapatnya vektor pembawa penyakit berkenaan iaitu nyamuk Aedes.

Virus demam kuning juga boleh dibawa masuk ke Malaysia melalui pelawat yang tiba dari negara berisiko mengalami transmisi demam kuning yang tidak mengambil vaksinasi demam kuning dan dijangkiti penyakit tersebut, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa langkah ketat untuk mencegah kemasukan demam kuning bagi mengekalkan status Malaysia sebagai negara tiada kes demam kuning.

Selaras dengan keperluan Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Malaysia melaksanakan pemantauan ke atas pelawat yang tiba dari negara yang berisiko mengalami transmisi demam kuning, katanya. – Bernama