Tiada kes Zika di Brunei

Tiada kes Zika di Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Hasil daripada pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan, mendapati setakat ini tidak ada sebarang kes jangkitan virus Zika dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.

Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin berkata, pihak Kementerian Kesihatan akan terus mengadakan pemantauan dan berusaha untuk mengelakkan dan mengawal virus Zika serta peranan orang ramai dalam membantu mencegah jangkitan virus berkenaan

Bercakap dalam satu sidang media di sini, beliau juga memaklumkan mengenai 56 kes jangkitan virus Zika yang berlaku di Singapura seperti yang dilaporkan hari ini.

Menurut maklumat daripada siaran akhbar bersama oleh Kementerian Kesihatan Singapura dan Agensi Persekitaran Kebangsaan Singapura, daripada jumlah tersebut, 34 kes telah sembuh sepenuhnya sementara tujuh lagi sedang pulih di Hospital Tan Tock Seng.

Kes jangkitan virus Zika bermula di Singapura selepas seorang wanita Malaysia berusia 47 tahun yang tinggal di Blok 102 Aljunied Crescent dijangkiti virus Zika dalam kes pertama jangkitan dalaman di negara itu.

Haji Zakaria (dua kiri) dan Dr. Justin Wong (kiri sekali) memberikan keterangan kepada pihak media mengenai status terkini virus Zika di negara ini.
Haji Zakaria (dua kiri) dan Dr. Justin Wong (kiri sekali) memberikan keterangan kepada pihak media mengenai status terkini virus Zika di negara ini.

Menurut Haji Zakaria, pihak Kementerian Kesihatan Brunei telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Singapura mengenai status jangkitan Zika serta mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah yang diambil dalam menangani jangkitan virus itu.

Pada sidang media itu, Penguasa Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Justin Wong Yun Yaw berkata, virus Zika bukannya penyakit yang baru tetapi mula dikenal pasti di Afrika pada 1947 dan ia merupakan penyakit bawaan nyamuk dan berjangkit daripada seseorang yang telah dijangkiti oleh virus itu kepada orang lain melalui gigitan nyamuk.

Katanya, Negara Brunei Darussalam pada masa ini, tidak mempunyai sebarang kes jangkitan virus Zika yang dilaporkan. Namun begitu, Brunei berada di dalam kawasan yang dikelilingi oleh negara-negara yang telah melaporkan berlaku jangkitan virus Zika seperti Thailand dan yang terbaru, Republik Singapura.

Dr. Justin Wong berkata, antara negara-negara yang terjejas akibat virus Zika dan melaporkan penularan secara meluas, kebanyakannya adalah terhad di rantau Latin Amerika seperti Brazil dan Caribbean.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menasihatkan untuk mengadakan sekatan perjalanan ataupun perdagangan ke atas negara-negara terjejas dan tidak menasihatkan penyaringan khusus bagi penyakit-penyakit tersebut di pintu-pintu masuk.

Bagaimanapun, orang ramai yang telah pun mengunjungi negara yang terjejas dan mempunyai tanda-tanda jangkitan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

Jangkitan virus Zika adalah sejenis jangkitan yang dibawa oleh nyamuk Aedes Aegypti sebagaimana jangkitan yang menyebabkan demam denggi dan chikungunya di mana nyamuk Aedes memang didapati di negara-negara tropika termasuk Brunei.

Dr. Justin Wong juga berkata bahawa menurut kajian perubatan, kebanyakan kes jangkitan virus Zika tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau simptom. Bagaimanapun, sebahagian kecil pesakit boleh mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjunktivitis dan ruam.

Jangkitan itu juga berkemungkinan ada kaitan dengan simptom neurologi dan mikrosefali dalam kalangan anak damit yang baru lahir.

Menurutnya lagi, tidak ada rawatan khusus bagi merawat ataupun vaksin bagi mencegah jangkitan virus Zika dan rawatan adalah lebih tertumpu pada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan, jika diperlukan.

Virus Zika terdiri daripada genus Flavivirus di dalam keluarga Flaviviridae dan virus itu boleh merebak daripada seorang yang dijangkiti virus Zika ke seorang yang sihat melalui gigitan nyamuk jenis Aedes. Selain itu, terdapat risiko kecil virus berkenaan merebak melalui hubungan seksual.

Hasil pemantauan entomologi (serangga) menunjukkan nyamuk Aedes di Negara Brunei Darussalam sering membiak dalam bekas-bekas yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, lapik pasu bunga, tayar-tayar yang terdedah dan sampah sarap yang terbiar. Pembiakannya didapati meningkat berlipat-ganda selepas musim hujan. Lazimnya, nyamuk ini akan keluar pada awal pagi dan lewat petang.

Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan langkah-langkah pemantauan, pencegahan dan pengawalan termasuklah pemantauan entomologi dan pengawalan vektor.

Memandangkan keadaan yang sedang berlaku di Singapura serta perjalanan yang kerap antara negara tersebut dan negara ini, maka terdapat risiko kecil pembawaan virus tersebut ke negara ini melalui individu yang dijangkiti.

Persediaan Negara Brunei Darussalam untuk mengurus kes pembawaan virus Zika adalah berpandukan kepada pengukuhan keupayaan negara untuk mencegah berlakunya mana-mana kes, mengesan kes-kes lebih awal dan mengawalnya daripada merebak bagi mencegah berlakunya wabak.

Ini adalah selaras dengan prinsip-prinsip teras Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005). Penilaian risiko terhadap kemunculan situasi baru akan diteruskan dan garis panduan yang jelas telah pun disediakan bagi memastikan negara kita akan sentiasa bersedia untuk mengendalikan kemunculan virus tersebut.

Dalam hubungan itu, Dr. Justin Wong berkata lagi bahawa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan adalah mustahak di mana orang ramai perlu bersama-sama bertanggungjawab dalam mengambil tindakan-tindakan pencegahan supaya virus Zika tidak merebak di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil langkah-langkah pencegahan pembiakan nyamuk.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian jangkitan virus Zika dengan kerjasama WHO dari semasa ke semasa dan melaksanakan apa jua tindakan yang diperlukan termasuk memaklumkan sebarang perkembangan mengenainya kepada orang ramai.

Bagi sebarang pertanyaan tentang jangkitan virus Zika ataupun penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn ataupun menghubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA