Tiada kompromi bagi majikan gagal patuhi undang-undang

Tiada kompromi bagi majikan gagal patuhi undang-undang

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah tidak akan berkompromi dengan majikan yang gagal mematuhi undang-undang buruh termasuk berkaitan gaji minimum.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JTK Sabah Othman Abdullah berkata majikan yang ingkar undang-undang itu berdepan dengan tindakan tegas.

“Baru-baru ini, sebuah syarikat dikenakan hukuman denda RM15,000 dan bayaran tunggakan gaji minimum berjumlah RM6,072.61 oleh Mahkamah Majistret Beaufort selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Dana Arabi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya syarikat berkenaan mengaku bersalah mengikut Seksyen 43, Akta Majlis Perundingan Negara 2012 kerana gagal membayar gaji pokok seperti ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2012 kepada lima pekerjanya.

Sementara itu, JTK Sabah hari ini menerima kunjungan Konsul Muda, Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, Darmawan Tuah Purba.

Dalam pertemuan itu, para pegawai kanan JTK Sabah dan Konsulat Indonesia membincangkan beberapa isu termasuk berhubung penggajian pekerja Indonesia di negeri ini, yang merangkumi isu gaji minimum dan proses kemasukan pekerja dari negara jiran itu.

Selain itu, isu kemalangan pekerja Indonesia di Sabah turut dibincangkan untuk mencari penyelesaian yang sesuai agar pampasan bagi kes terdahulu dapat diselesaikan.