Tiada krisis di Man City – Pellegrini

Tiada krisis di Man City – Pellegrini

MANCHESTER, 29 Nov (AFP) – Manuel Pellegrini bangga dengan kemampuan Manchester City mencerap tekanan sepanjang minggu lalu sebelum skuad dari Eastlands itu menang 3-1 ke atas Southampton pada saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Sehubungan itu, pengendali City dari Itali itu melaungkan ia sebagai bukti bahawa tiada sebarang krisis yang melanda pasukannya selepas kalah mengejut 4-1 di tangan Liverpool, di gelanggang sendiri, hujung minggu lalu.

Ia disusuli kekalahan 1-0 kepada Juventus, Rabu lalu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah meskipun sudah layak terlebih dahulu selepas mencatat tiga kemenangan.

Namun, kemenangan ke atas Southampton menyaksikan semangat baru kepada pemain, sekali gus ‘ubat’ menutup mulut Pellegrini kepada pengkritiknya selepas khabar angin mengaitkan bos Bayern Munich, Pep Guardiola bakal menggantikannya.

Manuel Pellegrini. – AFP
Manuel Pellegrini. – AFP

“Ya, ia sangat penting kepada kami (kemenangan). Ia bukannya minggu yang mudah bagi kami,” kata Pellegrini yang kini menyaksikan City di tangga teratas liga dengan dipisahkan hanya perbezaan jaringan dengan Leicester.

“Saya fikir aksi kami ketika menentang Liverpool bukannya perlawanan yang biasa kepada pasukan dan pemain secara individu.

“Justeru ia penting untuk kami memperoleh reaksi yang kuat dari penonton dan penyokong kita.

Kalau kamu mahu mengejar kejuaraan, kamu tidak perlu terlepas satu mata sekalipun di gelanggang sendiri…dan kami sudah melepaskan mata kepada West Ham dan Liverpool,” katanya.