Tiada lagi ke...

Tiada lagi kebangkitan ajaib

BARCELONA, 20 April – Barcelona gagal untuk menghasilkan satu lagi kebangkitan ajaib dalam Liga Juara-Juara apabila Juventus mengekang serangan mereka dengan keputusan seri 0-0 di Camp Nou awal pagi tadi untuk mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-0.

Juara Sepanyol itu telah mengatasi defisit 4-0 ketika menentang Paris Saint-Germain dalam peringkat 16 terakhir dengan kemenangan dramatik 6-1 di gelanggang sendiri.A

Tetapi Juventus telah membuktikan kenapa mereka mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam kejohanan, menyaksikan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar tumpul di depan gawang. Kemenangan itu telah menebus kekecewaaan gergasi Itali itu dalam kekalahan final Liga Juara-Juara 2015.

Juventus telah menyertai juara bertahan Real Madrid, Atletico Madrid dan Monaco dalam undian separuh akhir esok.

Selepas sahaja sepak mula, pasukan pelawat kelihatannya berazam untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan juara Perancis sebelum ini.

Trio pertahanan Juventus (dari kiri) Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini dan Andrea Barzagli meraikan kemaraan Juventus selepas menyingkirkan Barcelona menerusi agregat 3-0 dalam persaingan suku akhir Liga Juara-Juara. - AFP
Trio pertahanan Juventus (dari kiri) Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini dan Andrea Barzagli meraikan kemaraan Juventus selepas menyingkirkan Barcelona menerusi agregat 3-0 dalam persaingan suku akhir Liga Juara-Juara. – AFP

Skuad Massimiliano Allegri membuat tekanan tinggi bagi mencegah Barca daripada mendominasi kawalan bola dan bahkan Juve menikmati beberapa peluang awal.

Penyerang Juve, Gonzalo Higuain mendapati satu tampanan hebat daripada Gerrard Pique telah menghalang hantaran lintang Juan Cuadrado sampai kepadanya untuk membuat penyudah mudah.

Barca pula terpaksa menunggu minit ke-19 untuk mendapat ruang bagi membuat percubaan ke gawang Juventus sebelum rembatan Messi tersasar sedikit.

Bos Barca Luis Enrique kemudian memilih untuk menurunkan Paco Alcacer, dengan pasukan tuan rumah membariskan empat penyerang dalam 30 minit terakhir.

Juventus dengan gembiranya mengakhiri peringkat suku akhir ini dengan merekodkan lapan perlawanan tanpa bolos daripada 10 perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.

Dan satu-satunya berita negatif pada malam itu bagi Juventus adalah kad kuning Sami Khedira yang akan menyebabkannya tidak dapat beraksi dalam separuh akhir pertama nanti. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA