Tiada laporan kes Zika di Brunei

Tiada laporan kes Zika di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Kementerian Kesihatan hari ini menjelaskan bahawa maklumat yang disebarkan kononnya terdapat jangkitan Virus Zika pertama di Brunei adalah tidak benar, malah setakat ini tidak ada laporan kes jangkitan Virus Zika di negara ini.

Penjelasan itu dibuat berikutan penyebaran maklumat mengenai jangkitan Virus Zika yang disebarkan melalui Whatsapp yang mana kononnya terdapat kes Virus Zika pertama di Negara Brunei Darussalam dan menyatakan bahawa jangkitan tersebut sengaja dirahsiakan daripada orang ramai.

Sambil menegas bahawa maklumat yang disebarkan adalah tidak betul, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mana-mana maklumat mengenai jangkitan Virus Zika akan dimaklumkan kepada orang ramai dengan seberapa segeranya melalui saluran media rasmi dan tidak akan dirahsiakan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya.

Orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak berasas.

Menurut kenyataan itu lagi, perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

Kementerian Kesihatan berkata, langkah-langkah yang paling efektif dalam mengelakkan jangkitan Virus Zika adalah dengan memastikan kawasan kediaman awda adalah bebas daripada bekas-bekas yang menakung air bagi mencegah pembiakan nyamuk di samping melindungi diri daripada digigit nyamuk.

Pihak kementerian akan terus memantau perkembangan situasi dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan rakan-rakan di dalam ASEAN.

“Kita terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia dan ingin menjemput kesemua pihak-pihak berkepentingan termasuk orang-orang awam untuk ikut serta sepenuhnya dalam usaha kebangsaan untuk mencegah dan mengawal Jangkitan Virus Zika dengan memastikan kebersihan alam sekitar,” kata kenyataan itu lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Virus Zika dan penyakit-penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA